Skip to main content

Malaysia

'Tiada maklumat permohonan pengampunan baharu Najib' - Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi hari ini bagi menyambung perbicaraan berhubung kes saman SRC International Berhad dan Gandingan Mentari Sdn Bhd.  --fotoBERNAMA
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung laporan permohonan pengampunan terbaharu yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah kepada penerima program Baiti Jannati di sini hari ini, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak mempunyai butirannya sekarang, jadi saya tidak mahu mengulas mengenainya," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil pemilikan unit kediaman Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, hari ini.

Baru-baru ini, terdapat laporan memetik sumber yang mendakwa Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan baharu kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB). 

Permohonan itu dikatakan dibuat pada bulan Ramadan lalu dengan salinan turut dihantar ke Istana Negara.

Laporan tersebut menyatakan bahawa tidak dapat dipastikan sama ada permohonan itu berkaitan dengan kes SRC International Sdn Bhd atau kes 1MDB, atau kedua-duanya, namun ia bertujuan memohon pelepasan daripada segala sabitan jenayah.

Najib, 72, kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 setelah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sebelum ini, FTPB telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan atau pengurangan hukuman, serta mempengerusikan mesyuarat FTPB.

Lembaga FTPB dianggotai oleh peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan tiga ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada 22 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah, seperti yang didakwanya selaras dengan titah adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

Najib yang berhujah kerajaan wajib melaksanakan perintah berkenaan, kini sedang membuat rayuan terhadap keputusan terbabit.

Must Watch Video