KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Sheikh Dr Mohammad Al-Issa memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadi sumber inspirasi dalam usaha memperkukuh agenda Islam di peringkat antarabangsa.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam berkata, hal ini ditonjolkan melalui komitmen berterusan Malaysia dan rakyatnya dalam menyokong serta menjayakan pelbagai program keislaman bersama MWL.
Bercakap pada majlis penutup Pertandingan Iman dan Sains, Al-Issa berkata, program seperti itu yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuktikan usaha bersepadu dalam memperkukuh hubungan umat Islam dengan al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan penghayatan nilai-nilainya.
“Liga Dunia Islam sentiasa berusaha memperkukuh nilai al-Quran dalam kalangan generasi muda di seluruh dunia. Malaysia pula merupakan negara yang amat istimewa kerana masyarakatnya mempunyai jiwa keimanan dan kecintaan terhadap al-Quran,” katanya dalam ucaptama program itu, di sini, pada Ahad.
Al-Issa turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kejayaan inisiatif berkenaan, yang disifatkan mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa nilai Islam di peringkat global.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, program berteraskan al-Quran dan ilmu merupakan platform penting dalam mengintegrasikan iman dan pengetahuan.
Beliau berkata, inisiatif seperti itu bukan sahaja memupuk nilai Islam dalam kalangan peserta, malah menghubungkan wahyu dengan perkembangan ilmu pengetahuan moden secara seimbang.
Katanya, Malaysia akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama itu yang mengangkat nilai kesederhanaan dan keharmonian serta memperkukuh kefahaman Islam yang sebenar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MWL, khususnya Al-Issa atas usaha berterusan dalam memperkukuh agenda ilmu dan keimanan melalui platform antarabangsa.
Pertandingan itu yang dianjurkan melalui platform Facebook Iman & Sains Malaysia sepanjang bulan Ramadan adalah antara usaha MWL memperluas kerjasama dan persefahaman antara negara dalam memperkukuh nilai kemanusiaan serta menjadikan Islam sebagai sumber rahmat kepada seluruh dunia.
-- BERNAMA