KUALA LUMPUR: Dalam arus kemodenan, Persatuan Famili AsSaadi terus memainkan peranan penting dalam menghimpunkan waris serta memelihara salasilah keturunan yang mempunyai sejarah panjang dan unik.
Keluarga AsSaadi berakar daripada keturunan ulama yang berhijrah dari Yaman ke Nusantara sekitar era awal penyebaran Islam, sebelum menetap di Kedah.
Mereka dikaitkan dengan tradisi ilmu agama, dakwah serta peranan sebagai imam yang kemudiannya berkembang melalui perkahwinan dengan masyarakat tempatan, sekali gus membentuk jaringan keturunan yang besar hingga hari ini.
Presiden persatuan itu, Fuad Abas berkata, setakat ini kira-kira 3,000 individu keturunan itu dikenal pasti di Lembah Klang.
“Usaha menghimpunkan keluarga ini sebenarnya bermula sejak 1999, tetapi kini berkembang dengan penganjuran perhimpunan keenam,” katanya, sambil memaklumkan antara tokoh terkenal dalam keluarga besar itu termasuk Tan Sri Khalid Abdullah dan Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata demikian pada majlis perhimpunan keenam Persatuan Famili AsSaadi di sini, pada Ahad.
Naib presiden, Ahmad Nawar Rejab pula berkata, keluarga ini kini berkembang hingga generasi ketujuh hingga kesembilan, dengan ramai ahlinya terlibat dalam bidang keusahawanan serta kepimpinan masyarakat.
“Kami juga mengekalkan tradisi ilmu dan peranan sebagai imam yang diwarisi sejak awal keturunan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Dr Mohamad Guntor Mansor Tobeng menegaskan, perpaduan menjadi teras utama keluarga.
“Dalam keluarga ini, kita tidak membezakan kaya atau miskin, berjaya atau tidak. Yang penting tiada ahli keluarga tercicir,” katanya, sambil menekankan kepentingan perhimpunan ini dalam mengeratkan silaturahim.
Perhimpunan keluarga itu turut turut diserikan dengan penglibatan ahli yang berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk dunia kulinari, antaranya Chef Liza Zainal dari Su’adza Academy yang berkongsi pengalaman menghasilkan program masakan serta meneroka resipi warisan berusia lebih 100 tahun.
“Saya sangat berbangga dapat berkongsi pengalaman bersama banyak pihak termasuk media seperti Astro AWANI dalam memperkenalkan hidangan tradisi seperti nasi minyak dan masakan lama warisan keluarga,” katanya.