IPOH: Usahawan Melayu digesa memperkasa perniagaan melalui medium digital susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat ketika ini, kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub.
Beliau berkata, perkembangan semasa menuntut perubahan strategi yang lebih tangkas khususnya dalam aspek penggunaan teknologi digital demi memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
“Pengalaman negara ketika berdepan pandemik COVID-19 menunjukkan perniagaan digital menjadi antara pemacu utama yang membantu usahawan bertahan dalam situasi ketika berdepan krisis.
“Jadi, usahawan Melayu perlu menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan sistem automasi pemasaran yang semakin berkembang dan mampu mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Forum Niaga MADANI 2026 dan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak Kali Ke-11 di Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, di sini, pada Ahad.
Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Presiden DPMM, Amirhamzah Karim.
Mustaffa Kamil berkata, bagi mempermudah usahawan untuk menguasai medium digital, pelaksanaan Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) di setiap negeri menjadi pemangkin utama dalam menyediakan akses bimbingan secara lebih menyeluruh dan tersusun.
Menurutnya, inisiatif berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik dengan DPMM di peringkat pusat dan negeri bagi memperluas capaian bantuan kepada komuniti usahawan.
“PRIME ini kita telah laksanakan sejak tahun lepas apabila ia berfungsi sebagai pusat sehenti yang menghubungkan usahawan dengan 66 agensi kerajaan, sekali gus mempermudah akses kepada pelbagai bentuk bantuan, pembiayaan, latihan serta khidmat nasihat perniagaan yang ditawarkan.
“Untuk tahun ini, kita akan memperluas program ini ke peringkat daerah bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat daripada pelaksanaan pusat sehenti ini,” katanya.
-- BERNAMA