Skip to main content

Malaysia

Malaysia guna saluran diplomatik dengan Norway berhubung pembekalan NSM

61765601075_MohamedKhaledNord.jpg
Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan terus memastikan kesiapsiagaan dan keperluan strategik pertahanan negara tidak terjejas. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Norway bagi mendapatkan penjelasan serta membincangkan langkah sewajarnya berkaitan isu pembekalan misil antikapal dan serangan darat (NSM) untuk kegunaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil bagi menjaga kepentingan negara susulan laporan portal Malaysian Defence mengenai isu pembekalan melibatkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) dari Norway.  

"Kementerian Pertahanan sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan pihak KDA bagi pembekalan peluru berpandu NSM untuk melengkapkan keupayaan kapal LCS TLDM," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian Kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan.  

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan akan terus memastikan kesiapsiagaan dan keperluan strategik pertahanan negara tidak terjejas di samping mengekalkan hubungan dua hala Malaysia-Norway yang sudah lama terjalin.  

“Sebarang tindakan susulan akan dibuat secara teliti dan sentiasa berpandukan kepentingan strategik negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan TLDM akan mengoperasikan dua jenis misil, iaitu permukaan ke permukaan atau antipermukaan termasuk NSM dari Norway.

-- BERNAMA

Must Watch Video