KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan keras Malaysia terhadap keputusan unilateral Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem Naval Strike Missile (NSM) serta sistem pelancar berkaitannya.
Menurut beliau, bantahan itu disampaikan secara langsung dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store susulan tindakan negara itu yang didakwa dibuat atas alasan melindungi keselamatan Norway.
Anwar berkata, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak tersebut sejak 2018 secara teliti, penuh tanggungjawab dan tanpa sebarang pelanggaran.
Namun, katanya, Norway dilihat gagal menunjukkan tahap komitmen serta kepercayaan yang sama terhadap Malaysia.
Beliau menegaskan keputusan berkenaan akan memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara termasuk program pemodenan Littoral Combat Ship (LCS).
“Keputusan ini akan membawa implikasi serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan LCS, selain memberi kesan lebih luas kepada keseimbangan serantau,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Anwar turut menyifatkan kontrak yang telah dimeterai sebagai satu instrumen serius yang tidak boleh diperlakukan secara sewenang-wenangnya.
Menurut beliau, sekiranya pembekal pertahanan Eropah boleh menarik diri daripada komitmen yang telah dipersetujui tanpa sebarang pertanggungjawaban, maka kredibiliti mereka sebagai rakan strategik akan terjejas.