Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Rayuan benarkan Chegubard peroleh kenyataan wartawan Bloomberg

51729232997_CheguBard.jpg
Chegubard berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan berkaitan projek kasino di Forest City, Johor. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin, bagi mengembalikan semula perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pihak pendakwaan mendedahkan kenyataan seorang saksi kepadanya untuk digunakan dalam pembelaannya dalam kes hasutan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan semula perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pihak pendakwaan mendedahkan kenyataan seorang wartawan Bloomberg yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, kepada pihak pembelaan.

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard, kini berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan berkaitan projek kasino di Forest City, Johor.          

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa membuat penerbitan berunsur hasutan itu melalui akaun Facebook miliknya menggunakan nama “Che GuBard” di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April 2024.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tahun lepas, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Chegubard supaya kenyataan berkenaan didedahkan.

Bagaimanapun, pada Januari lepas, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh pihak pendakwaan. Badrul Hisham kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Chegubard, iaitu Muhammad Rafique Rashid Ali, memaklumkan mahkamah bahawa perbicaraan di Mahkamah Sesyen dijadualkan bersambung pada 6 April depan.

Beliau berhujah bahawa pertuduhan yang dihadapi anak guamnya berkait dengan artikel wartawan tersebut dan kenyataan itu boleh digunakan untuk menyokong pihak pembelaan serta berpeluang membantu membersihkan nama anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee, bagaimanapun berhujah dengan menyatakan maklumat terkandung dalam artikel itu berada dalam pengetahuan Ram, dan sebarang fakta diperlukan untuk membersihkan nama Chegubard boleh dikemukakan kepada Ram Anand semasa sesi soal balas dalam perbicaraan.

Pada prosiding hari ini, peguam David Dev Peter hadir sebagai pemerhati bagi pihak Badan Peguam Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video