MOSCOW: Sebuah mahkamah rayuan Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah rendah, sekali gus membolehkan pihak berkuasa AS mengenakan semula dan menguatkuasakan sekatan terhadap Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, menurut keputusan mahkamah, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“(Mahkamah) memerintahkan supaya perintah mahkamah daerah yang dikeluarkan pada 13 Mei 2026 ditangguhkan sebahagiannya secara pentadbiran sementara menunggu perintah lanjut mahkamah.
“Selaras dengan penangguhan itu, pihak perayu boleh melaksanakan dan menguatkuasakan penetapan Francesca Albanese sebagai warga asing yang dikenakan sekatan,” lapor RIA Novosti memetik laporan itu pada Isnin.
Pada Mei lepas, Jabatan Perbendaharaan AS mengeluarkan Albanese daripada senarai sekatannya susulan keputusan mahkamah bahawa langkah sekatan itu tidak sah.
Pada 3 Julai 2025, Albanese menyifatkan operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sebagai “satu daripada genosid paling kejam dalam sejarah moden.”
Beliau juga berulang kali menyuarakan sokongan terhadap waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ke atas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan secara terbuka menggesa negara yang mengiktiraf Statut Rom supaya menangkap pemimpin Israel itu.
Pada 9 Julai 2025, Setiausaha Negara AS Marco Rubio mengumumkan bahawa negara itu mengenakan sekatan terhadap Albanese kerana didakwa cuba memulakan prosiding jenayah terhadap warga Amerika dan Israel.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI