BANGKOK: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merangka semula budaya tempat kerja bagi menarik bakat muda dalam sektor penerbangan sambil mengimbangi kekuatan pekerja berpengalaman, ketika lapangan di seluruh dunia mengalami perubahan pesat susulan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulannya, Nadiah Tan Abdullah berkata pengendali lapangan terbang itu sedang mengkaji budaya yang menggabungkan pengambilan pekerja muda yang berdaya tahan, pantas dan bercita-cita meningkatkan kemahiran, dengan bantuan kepakaran serta kebijaksanaan pekerja berpengalaman.
Ia bertujuan meningkatkan produktiviti dalam persekitaran teknologi dan digital yang sangat mencabar serta pantas.
Beliau berkata pengendali lapangan terbang itu sedang beralih daripada struktur tempat kerja hierarki secara tradisional ke arah budaya yang lebih terbuka dan inklusif yang menggalakkan kerjasama serta pembelajaran berterusan.
“Secara tradisinya, syarikat penerbangan dan lapangan terbang terutamanya di Asia, mempunyai hierarkinya sendiri,” katanya.
Sistem hierarki ialah sistem yang digunakan sesebuah organisasi atau struktur yang disusun mengikut peringkat atau lapisan berturut-turut berdasarkan kepentingan, autoriti atau pangkat.
Ia merujuk kepada struktur mengikut pangkat dari atas ke bawah, seperti pangkat tentera, pengurusan korporat atau sistem pengelasan, iaitu peringkat lebih tinggi memegang lebih banyak kuasa atau autoriti berbanding individu di peringkat lebih rendah.
“Kami telah mencipta budaya baharu dalam usaha mewujudkan satu budaya terbuka,” kata Nadiah dalam sesi panel pada Perhimpunan, Persidangan dan Pameran Serantau Asia Pasifik & Asia Barat Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa di sini hari ini.
Beliau berkata MAHB yang menguruskan 39 lapangan terbang, sedang mengubah kedudukannya untuk menarik generasi muda yang memasuki pasaran kerja sambil mengiktiraf nilai pekerja berpengalaman yang memiliki pengetahuan institusi dan kepakaran operasi.
“Apabila anda mempunyai pekerja muda, anda mempunyai daya tahan, kepantasan dan cita-cita.
“Bagaimanapun, apabila kita mempunyai lebih ramai pekerja berpengalaman, kita mempunyai pengalaman yang amat bermakna serta kebijaksanaan," katanya.
Nadiah berkata cabarannya adalah untuk menggabungkan kedua-duanya bagi menjadi kumpulan tenaga kerja yang berkesan.
Oleh itu, katanya, MAHB telah memperkenalkan inisiatif pembangunan bakat berstruktur, termasuk program kepimpinan dan bimbingan, bagi merapatkan jurang antara generasi dan mengukuhkan keupayaan tenaga kerja.
Beliau berkata, kepesatan perubahan teknologi dan pendigitalan memerlukan pengendali lapangan terbang segera meningkatkan kemahiran pekerja bagi memacu produktiviti serta pengalaman penumpang.
“Perubahan teknologi, termasuk pendigitalan, memerlukan kita menggerakkan manusia dengan lebih pantas dan segera meningkatkan kemahiran mereka agar kita boleh memperkasakan produktiviti dan pengalaman penumpang menerusi keupayaan pekerja kita,” katanya.
Nadiah menyatakan bahawa pekerja berpengalaman terus memainkan peranan penting, walaupun AI semakin diterima pakai di seluruh operasi lapangan terbang.
“Pekerja yang telah lama berkhidmat masih sangat tepat dan relevan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menekankan mengenai kepentingan komunikasi dan kepimpinan ketika transformasi organisasi, terutamanya susulan pelaksanaan penswastaan MAHB tahun lepas.
“Walaupun kami mengalami perubahan ini, kami masih berada di landasan yang tepat dengan misi kami untuk menjadi lapangan terbang yang paling terhubung.
“Sentiasa menyampaikan visi ini, sentiasa menyampaikan sebab kami perlu berubah dan sentiasa menunjukkan mengapa perubahan ini penting bagi kami,” katanya.
Beliau juga berkata lapangan terbang hari ini tidak lagi boleh beroperasi secara bebas, memandangkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem penerbangan telah menjadi semakin penting.
“Bagi MAHB, kami mempunyai kastam, imigresen, pengendali darat dan syarikat penerbangan, tetapi mereka semua tidak menerima gaji daripada kami.
“Semakin banyak, kita melihat kerjasama yang membina antara semua pihak berkepentingan menjadi lebih penting,” katanya.
Nadiah menambah bahawa penglibatan pekerja dan keselamatan psikologi adalah penting dalam memastikan kejayaan transformasi dalam organisasi yang besar.
“Kebanyakan transformasi gagal kerana kita melaksanakannya di pihak atasan, tetapi kita lupa untuk berkomunikasi secara peribadi,” tambahnya.
-- BERNAMA