BALING: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori dipandu lelaki disyaki positif dadah di hadapan simpang Kampung Sadek di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, polis menerima panggilan pada jam lebih kurang 12.20 tengah malam dari petugas Hospital Baling memaklumkan kematian terbabit.
Menurutnya, petugas memaklumkan mangsa yang terlibat kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di hadapan simpang berkenaan dekat Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik telah meninggal dunia semasa sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Baling.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah kereta dipandu satu lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama isteri berusia 41 tahun dan anak berusia lima bulan dari arah Gerik menghala ke Kupang manakala sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah sama iaitu dari arah Kelantan menghala ke arah Pulau Pinang.
"Akibat daripada kemalangan tersebut kesemua pemandu dan penumpang kereta mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
"Satu mangsa penumpang bayi yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Baling," katanya.
Beliau berkata, mangsa maut telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi proses bedah siasat.
Bagaimanapun, jelasnya, pemandu lori telah ditahan untuk siasatan lanjut selepas saringan awal ujian air kencing mendapati positif dadah.
Kes disiasat bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000. - Sinar Harian