KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan lima anak kapal warga Thailand selepas kapal kargo yang mereka naiki mengalami kebakaran di bahagian rumah masak, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata kesemua lelaki berusia antara 25 hingga 61 tahun itu dilaporkan melecur dengan sebahagian daripadanya dikategorikan sebagai serius.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 10.20 pagi pada kedudukan sekitar 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, di sini.
Beliau berkata maklumat kecemasan diterima 'Maritime Rescue Sub Centre' (MRSC) Johor Bahru pada 12.20 tengah hari, sebelum bot PERKASA 30 digegaskan ke lokasi bagi melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC).
"Bagaimanapun kebakaran tersebut berjaya dikawal sepenuhnya oleh anak kapal sebelum bantuan tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Najib berkata Maritim Malaysia telah menjalankan penilaian awal di lokasi kejadian sebelum melaksanakan operasi bagi membawa kesemua mangsa ke daratan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya setelah semua mangsa berjaya dipindahkan dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.
"Kita akan terus komited dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memberi bantuan segera kepada komuniti maritim yang memerlukan," katanya.
-- BERNAMA