KUALA LUMPUR: Sindiket yang menjadikan sebuah gudang sebagai lokasi penyimpanan karkas babi bersama pelbagai daging sejuk beku lain sebelum dipotong dan dibungkus semula di Kajang berjaya dibongkar pihak berkuasa baru-baru ini.
Serbuan Op Taring Chiller digerakkan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan itu berjaya merampas sebanyak 167,143.72 kilogram (kg) daging sejuk beku bernilai RM12.4 juta.
Menurut beliau, rampasan melibatkan 4,840 karton karkas khinzir, 410 karton kepak ayam import dan 115 karton daging itik.
“Polis telah menahan lima lelaki iaitu seorang warga tempatan dan empat warga Myanmar berusia antara 21 hingga 43 tahun yang disyaki berperanan sebagai penjaga stor, pemandu dan penghantar.
“Selain itu, pelbagai barang kes turut disita termasuk dokumentasi transaksi, kenderaan, peralatan pemindahan serta aset lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang media di Dewan Theatrette, Bukit Aman di sini pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak empat tahun lalu itu dipercayai menggunakan premis stor sejuk bagi menyimpan pelbagai jenis daging import sebelum diproses dan diedarkan semula ke pasaran tempatan.
“Sindiket dipercayai menggunakan kaedah pengisytiharan palsu untuk membawa masuk bekalan daging melalui pelabuhan negara dari beberapa negara termasuk China, Brazil dan Argentina,” katanya.
Tambahnya, siasatan turut mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen sah untuk menjalankan aktiviti penyimpanan atau operasi stor sejuk.
“Kami juga mendapati berlaku pelanggaran Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 susulan pencampuran produk halal dan tidak halal di premis terbabit,” katanya lagi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pihak polis kini sedang mengenal pasti saluran pengedaran daging berkenaan termasuk kemungkinan dibekalkan ke restoran, pasar raya dan premis lain di pasaran tempatan di seluruh negara termasuk kawasan selatan tanah air.
“Perkara itu masih dalam siasatan. Kami sedang mengenal pasti saluran pengedaran termasuk sama ada ia dibekalkan ke restoran, pasar raya atau premis lain,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis percaya kegiatan itu melibatkan rangkaian sindiket tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta individu lain yang terlibat.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Mei 2026, JKDNKA merekodkan sebanyak 88 kes membabitkan 153 individu dengan nilai rampasan keseluruhan RM157.3 juta.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.