Skip to main content

Malaysia

Letupan mercun: Penganjur, peserta perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ akan dipanggil - Polis

Perhimpunan, Rafizi Ramli, Azam Baki
Sazalee berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab. -Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil penganjur dan peserta perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’ bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan mercun di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini, yang mencetuskan kekecohan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab.

Image
Perhimpunan, Rafizi Ramli, Azam Baki

“Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda setakat ini.

“Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu, di sini, pada Sabtu.

Ditanya sama ada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli antara individu yang akan dipanggil, Sazalee berkata polis akan memanggil mana-mana pihak yang boleh membantu siasatan.

“Kita akan panggil sesiapa yang boleh membantu siasatan, kita kena tengok dulu,” katanya.

Image
Perhimpunan, Rafizi Ramli, Azam Baki

Mengulas dakwaan mengenai kemungkinan unsur sabotaj, Sazalee berkata polis akan menyiasat daripada semua sudut dan meneliti semua bukti yang diperoleh.

“Kita akan kesan punca dan siapa yang bekalkan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan polis menemui satu lagi bungkusan yang dipercayai mengandungi mercun yang belum sempat dinyalakan di lokasi kejadian.

Image
PDRM

Menurutnya, secara keseluruhan perhimpunan yang bermula dari hadapan Kompleks Sogo menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman itu berlangsung dalam keadaan aman, kecuali insiden letupan mercun berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, perhimpunan tersebut tidak membuat sebarang pemakluman rasmi kepada pihak polis.

Kira-kira 300 peserta menyertai perhimpunan berkenaan, manakala 200 anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan keadaan terkawal.

Image
Perhimpunan, Rafizi Ramli, Azam Baki

 

Image
Perhimpunan, Rafizi Ramli, Azam Baki

 

Image
PROTES

Sebelum itu, peserta berkumpul di hadapan Sogo kira-kira pukul 3 petang sebelum berarak kira-kira 30 minit kemudian.

Perhimpunan berakhir sekitar jam 5.30 petang dengan ucapan Rafizi.

Must Watch Video