GUA MUSANG: Program Kembara Daie Orang Asli yang berlangsung selama tiga hari di beberapa penempatan komuniti Orang Asli di Kelantan, menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM168,833, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli.
Beliau berkata peruntukan itu disalurkan melalui agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai sebahagian usaha kerajaan MADANI menyantuni masyarakat pedalaman.
Marhamah berkata program di Kampung Pasir Linggi hari ini, melibatkan bantuan berjumlah RM38,000, termasuk RM10,900 bagi bakul makanan kepada penduduk setempat.
“Sebanyak RM10,000 turut disalurkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pos Aring dan RM10,000 lagi kepada JPKK Pos Lebir. Selain itu, RM7,404 diperuntukkan bagi penganjuran jamuan rakyat sebagai sebahagian aktiviti bersama komuniti setempat,” katanya di sini, hari ini.
Marhamah berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Yayasan Taqwa, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Beliau berkata sumbangan MAIK tidak dimasukkan dalam jumlah peruntukan, kerana melibatkan bantuan berasingan seperti makanan, hadiah dan keperluan lain.
“Kerajaan akan terus menambah baik pelaksanaan program melibatkan komuniti Orang Asli, termasuk dari aspek perancangan, penyelarasan dan capaian ke kawasan lebih jauh.
“Kita juga mahu memastikan usaha dakwah disusuli dengan pendidikan agama supaya mereka dapat mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Marhamah turut memaklumkan keperluan kemudahan surau untuk solat Jumaat di Mukim Pasir Linggi akan diteliti bersama pihak kerajaan negeri, termasuk cadangan menaik taraf surau sedia ada atau membina kemudahan baharu.
-- BERNAMA