Skip to main content

Malaysia

Gastronomi medium perkukuh perpaduan nasional - Yuneswaran

IPOH, 25 April -- Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran (tiga, kiri) pada Majlis Pelancaran Buku Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana Perpustakaan Negara Malaysia di Stadium Indera Mulia hari ini.  Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud (dua, kiri) dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Edy Irwan Zulkafli (kanan).  Buku itu hasil penyelidikan ilmiah oleh Profesor Dr Salmah Jan Noor Muhammad (kiri), d
Yuneswaran (tiga, kiri) pada Majlis Pelancaran Buku Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana Perpustakaan Negara Malaysia di Stadium Indera Mulia hari ini. - Gambar Bernama

IPOH: Gastronomi atau seni penyediaan makanan dikenal pasti sebagai medium paling ampuh menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran.

Beliau berkata makanan bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal malah berperanan sebagai “bahasa universal” yang mampu merapatkan jurang perbezaan kaum, agama dan latar belakang sosial dalam kalangan rakyat.

“Apabila kita memahami sejarah, resipi dan ramuan sesuatu hidangan yang diwarisi sejak dahulu, kita sebenarnya sedang melatih diri untuk lebih menghargai silang budaya yang telah membentuk identiti kebangsaan kita pada hari ini.

“Inilah penawar atau formula yang mujarab dalam merapatkan apa jua bentuk defisit sosial dalam komuniti kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana Perpustakaan Negara Malaysia di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Edy Irwan Zulkafli.

Yuneswaran berkata di meja makan, perbezaan warna kulit, status sosial dan latar belakang agama tidak menjadi pemisah dan amalan rumah terbuka setiap musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai menjadi bukti nyata perpaduan rakyat Malaysia. 

Beliau berkata penerbitan buku tersebut juga sangat bertepatan dengan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara apabila ia bukan sekadar membicarakan tentang makanan tetapi juga menelusuri akar umbi sejarah dan falsafah di sebalik hidangan tersebut.

“Selain nilai perpaduan dan warisan, penerbitan buku ini juga membuka pintu yang sangat luas kepada potensi ekonomi melalui pelancongan gastronomi.

“Pelancong dari serata dunia kini melancong bukan sekadar untuk melihat bangunan yang indah tetapi untuk merasai pengalaman budaya yang autentik, terutamanya melalui makanan,” katanya.

Penerbitan Ilmu Gastronomi Melayu: Puri Kencana Perpustakaan Negara Malaysia menjadi titik tolak dalam mendokumentasikan ilmu kulinari tradisional secara sistematik yang sebelum ini banyak diwarisi secara lisan.

Buku itu hasil penyelidikan ilmiah oleh Profesor Dr Salmah Jan Noor Muhammad dari Universiti Putra Malaysia dengan menyingkap keunikan ilmu gastronomi Melayu atau ilmu kulinari tradisional itu berdasarkan manuskrip Melayu kulinari koleksi PNM.

-- BERNAMA

Must Watch Video