KUALA LUMPUR: Syarikat animasi tempatan, Les’ Copaque Production menegaskan bahawa animasi popular Upin & Ipin adalah sepenuhnya karya asal serta milik hak cipta penuh syarikat berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan karya itu dengan pihak luar.
Kenyataan penafian itu dibuat susulan penyebaran sebuah video di media sosial yang mendakwa kononnya Upin & Ipin berasal dari Indonesia, sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna di rantau ini.
Menerusi video berkenaan, individu terbabit mendakwa pada tahun 2008 sekumpulan animator muda dari Jakarta dan Bandung telah menghasilkan sebuah karya animasi dikenali sebagai 'Si Arifin'.
Dakwaan itu turut menyebut bahawa karya tersebut kononnya ditolak oleh stesen televisyen di Indonesia kerana ketika itu penerbit lebih memilih program berasaskan pelakon kanak-kanak sebenar (realiti), selain faktor kos animasi yang dianggap terlalu tinggi.
Video sama turut mendakwa Malaysia kemudian 'mengambil kesempatan' dengan membeli lesen animasi tersebut, sekali gus mengaitkan asal usul Upin & Ipin dengan negara jiran.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan tidak disertakan sebarang bukti sahih dan bertentangan dengan rekod industri yang menunjukkan Upin & Ipin merupakan karya asal Malaysia yang dibangunkan sepenuhnya oleh Les’ Copaque Production.
Sehingga kini, penafian syarikat itu kekal sebagai penjelasan rasmi berhubung isu berkenaan, sekali gus menamatkan kekeliruan yang timbul di media sosial. -Sinar Harian