Skip to main content

Malaysia

Lelaki OKU maut dalam kebakaran rumah di Bachok

JBPM
Anggota JBPM dari BBP Bachok sedang melakukan tugas memadam kebakaran. - Foto JBPM

KOTA BHARU: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Mujur-Jelawat, Bachok awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Zamizi Muhammad berkata mangsa Che Mohd Faizul Che Sulaiman, 41, ditemukan di dalam bilik tidur rumah berkenaan selepas dipercayai terperangkap ketika kebakaran berlaku.

“Ketika kejadian mangsa berada di dalam rumah bersama ibu serta dua adiknya. Bagaimanapun, ahli keluarga lain sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Zamizi berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.15 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Bachok digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 9.26 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah sementara kekal dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu breaching dan dua pancutan bersama satu sumber air terbuka sebelum kebakaran berjaya dikawal pada 9.38 pagi. Mangsa kemudiannya ditemukan pada 9.43 pagi tadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video