Skip to main content

Malaysia

Lelaki mati ditikam di rumah kedai di Petaling Jaya

81727758824_tbtikamgeneric.jpg
Seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun ditemui maut dipercayai akibat ditikam di bahagian dada dalam kejadian di sebuah unit rumah kedai di daerah Petaling Jaya, pada Jumaat. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun ditemui maut dipercayai akibat ditikam di bahagian dada dalam kejadian di sebuah unit rumah kedai di daerah Petaling Jaya, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.20 petang.

Katanya, seorang lelaki tempatan menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring tidak sedarkan diri.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang juga lelaki warga tempatan berumur 50 tahun telah meninggal dunia dan dipercayai mengalami kecederaan tikaman di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, prosedur bedah siasat terhadap mangsa akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

Must Watch Video