IPOH: Lelaki yang dikhuatiri lemas di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini semalam, disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel bersama seorang lagi rakannya di pencawang Tenaga Nasional Berhad di empangan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata Balai Polis Tanjung Rambutan menerima maklumat mengenai kejadian curi kabel di kawasan tersebut kira-kira 12.40 tengah malam.
Beliau berkata kira-kira 10 minit kemudian, balai polis berkenaan turut menerima maklumat mengenai kejadian seorang lelaki dikhuatiri lemas berhampiran lokasi sama.
"Mangsa yang lemas dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri kabel bersama-sama seorang lagi lelaki yang turut lemas namun berjaya diselamatkan akibat terperangkap di tebing empangan dan telah ditahan bagi siasatan lanjut.
"Kawasan kejadian merupakan kawasan empangan berisiko tinggi. Operasi mencari dan menyelamat suspek terbabit dijalankan pihak bomba hingga kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata nilai kerugian kecurian kabel berkenaan masih belum dapat dikenal pasti.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri lemas diteruskan hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata usaha pencarian lelaki itu dilakukan menerusi teknik pencarian di permukaan di sekitar tempat mangsa dilaporkan lemas.
Beliau berkata 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun yang ditugaskan dalam operasi SAR berkenaan dan menggunakan bot whaly dan dibantu oleh lima anggota Pasukan Penyelamat di Air BBP Ipoh.
"Operasi SAR itu turut membabitkan lapan anggota polis serta 10 petugas operasi loji di empangan berkenaan," katanya dalam kenyataan.
-- BERNAMA