KAJANG: Seorang lelaki diberkas pada Sabtu susulan kes gangguan seksual di pintu masuk Stesen MRT Kajang, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan dibuat pada Sabtu selepas pihaknya menjalankan siasatan berhubung video berdurasi 23 saat yang tular di aplikasi Threads.
"Video tersebut memaparkan kejadian dipercayai berlaku di Gate A stesen berkenaan pada Khamis kira-kira jam 6.15 petang.
"Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ini telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang bagi permohonan perintah reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes gangguan seksual di sebuah Stesen MRT Kajang, di sini.
Terdahulu, menerusi perkongsian di media sosial, seorang individu mendakwa kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggu di kawasan terbuka berhampiran tangga stesen sebelum didatangi seorang lelaki yang bertindak menyentuh bahagian badan mangsa tanpa kebenaran.
Dalam perkongsian sama, mangsa menyatakan dia hanya menyedari kejadian tersebut selepas disentuh sebelum suspek bertindak melarikan diri. -Sinar Harian