SIBU: Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan selepas kenderaan dipandunya dipercayai merempuh enam kenderaan lain dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Wong Soon Kai di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Boniface Bajai berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan tujuh kenderaan itu pada kira-kira 9.55 malam.
“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki berumur 24 tahun sedang bergerak ke arah persimpangan lampu isyarat Jalan Wong Soon Kai.
“Semasa menghampiri persimpangan itu, kenderaan tersebut dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat lalu merempuh enam kenderaan lain yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Boniface berkata kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan serius, namun semua kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk.
Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu terbabit positif dadah jenis amphetamine dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di jalan awam.
Jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang dua tahun.
-- BERNAMA