KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tukang urut dengan menggunakan sepana, minggu lepas.
Adam Muhammad, 37, yang tidak bekerja didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Sani, 30, yang boleh menyebabkan kematian jika senjata itu (sepana) digunakan secara salah di sebuah premis di Dang Wangi di sini pada 8.15 malam, 10 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi tidak menawarkan jaminan kerana mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan menerima banyak jahitan.
“Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh membawa masuk sepana ke tempat kerja mangsa, sebelum tertuduh melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, Adam yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan dibenarkan kerana dia baru keluar dari penjara.
“Sebelum ini saya telah dipenjara selama setahun, tetapi isteri saya telah berkahwin dengan lelaki itu (mangsa),” katanya.
Hakim Azrol Abdullah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan kes pada 14 Mei ini.
-- BERNAMA