BANGKOK: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi jualan sebanyak RM20 juta untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta koperasi Malaysia yang menyertai pameran THAIFEX-Anuga Asia 2026 di Impact Arena, Muang Thong Thani di sini.
THAIFEX-Anuga Asia 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 30 Mei ini merupakan pameran perdagangan makanan dan minuman (F&B) terbesar serta paling komprehensif di Asia.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata THAIFEX-Anuga Asia merupakan platform penting bagi syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor F&B, untuk memperluaskan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa.
“Saya yakin penyertaan strategik syarikat tempatan dan peneraju industri bakal membuahkan kontrak perdagangan jangka panjang serta mengukuhkan kredibiliti produk makanan dan minuman Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Potensi jualan untuk syarikat PKS dan koperasi Malaysia yang menyertai misi perdagangan ini disasarkan sebanyak RM20 juta,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Terdahulu, Mohamad yang sedang dalam lawatan kerja lima hari ke Thailand telah merasmikan Pavilion Malaysia di THAIFEX-Anuga Asia 2026.
Beliau berkata tahun ini sebanyak 158 syarikat Malaysia menyertai pameran itu, sekali gus menjadikan Malaysia antara delegasi terbesar.
“Tahun ini, kami berbangga menyaksikan penyertaan 158 syarikat Malaysia di bawah beberapa delegasi termasuk KUSKOP, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah serta Malaysian Business Group.
“Kehadiran mereka mencerminkan keupayaan, inovasi dan daya saing syarikat-syarikat Malaysia yang semakin berkembang di pentas antarabangsa, di samping mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang global yang diyakini,” katanya.
Mohamad berharap syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu dapat memanfaatkan peluang berkenaan untuk memasarkan produk masing-masing sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
KUSKOP akan terus membantu syarikat Malaysia yang berhasrat memperluaskan jejak global mereka serta mempamerkan kekuatan industri makanan dan minuman negara.
Katanya antara produk yang mendapat sambutan menggalakkan pada pameran itu ialah produk berasaskan durian serta pelbagai jenis perencah makanan keluaran Malaysia.
-- BERNAMA