Skip to main content

Sukan

Komitmen berterusan cerminan kejayaan JDT - Munoz

ISKANDAR PUTERI, 18 Feb -- Ketua jurulatih JDT Xisco Munoz bercakap pada sidang media selepas perlawanan Peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025-2026 menentang Vissel Kobe, di Stadium Sultan Ibrahim, semalam (17 Feb).  Keputusan penuh JDT 1 - 0 Vissel Kobe.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  ISKANDAR PUTERI, 18 Feb — JDT head coach Xisco Munoz speaks at a press conference following the Asian Champions League Elite (ACLE) 2025–2026 East Zone League stage match against Vissel
Munoz mengakui Kuching City memberikan cabaran sengit dalam aksi final malam tadi terutama pada babak pertama, namun JDT berjaya menguasai permainan selepas rehat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz menyifatkan kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat berturut-turut sebagai satu pencapaian bersejarah selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final edisi 2025-2026 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Menurutnya, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan skuad Harimau Selatan untuk terus mempertingkatkan prestasi dan mencipta sejarah baharu dalam bola sepak negara dari tahun ke tahun.

“Sekali lagi, ia kembali kepada sejarah. JDT menjadi kelab pertama di Malaysia yang memenangi empat gelaran Piala Malaysia berturut-turut dan ini amat penting buat kami kerana kami sentiasa berusaha untuk membina sesuatu yang lebih kukuh dalam sejarah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Mengulas aksi final, Munoz mengakui Kuching City memberikan cabaran sengit terutama pada babak pertama, namun JDT berjaya menguasai permainan selepas rehat.

“Kami sudah bercakap mengenainya sebelum perlawanan bahawa tiada apa yang mudah dalam bola sepak. Kami tahu corak permainan Kuching City, kekuatan serta kemampuan mereka.

“Separuh masa pertama lebih seimbang 50-50, tetapi pada babak kedua kami lebih mengawal permainan. Apabila pemain mula berlari dan mendapat ruang, terutama dalam 20 minit terakhir, kami menjadi pasukan yang sangat berbahaya,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak enggan menyalahkan penyerang Muhammad Ramadhan Saifullah Usman yang gagal menyempurnakan sepakan penalti penting yang berpotensi mengubah corak permainan.

Beliau menegaskan bahawa sepakan penalti sentiasa bersifat 50-50 dan pemain terbaik dunia juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Namun pada pandangan saya, jika gol itu dijaringkan, permainan mungkin berubah kerana ketika itu momentum kami baik.

“Menentang pasukan seperti JDT, jika anda tidak memanfaatkan peluang, anda tahu apa akibatnya. Pemain saya manusia biasa, mereka sedikit terkesan selepas gagal menyempurnakan penalti dan ketika itu kami dihukum. Itulah bola sepak, dan memang sukar untuk tewas di final,” katanya.

Dua jaringan lewat permainan oleh Marcos Guilherme dan pemain gantian Arif Aiman Mohd Hanapi memastikan JDT menoktahkan kejuaraan Piala Malaysia keenam mereka selepas turut menjuarai edisi 2017, 2019, 2022, 2023 serta 2024-2025.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement