Skip to main content

Dunia

Modi, Rubio bincang keselamatan, hubungan dagang menjelang mesyuarat Quad

This photo shared by Indian Prime Minister Narendra Modi on his X handle shows him sitting on the right, speaking with United States Secretary of State Marco Rubio in New Delhi, India, Saturday, May 23, 2026.(Indian Prime Minister Narendra Modi on X via AP)
Foto dikongsi Modi melalui akaun X beliau menunjukkan pertemuan antaranya dan Rubio di New Delhi, India, 23 Mei 2026. - Foto X/AP

HYDERABAD: Perdana Menteri India Narendra Modi dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Sabtu membincangkan pengukuhan keselamatan dan hubungan perdagangan menjelang mesyuarat peringkat menteri Quad minggu depan di New Delhi.

"Kami mengadakan perbincangan yang produktif mengenai cara untuk memperdalam kerjasama AS-India merentasi keselamatan, perdagangan dan teknologi kritikal - bidang yang mengukuhkan kedua-dua negara kita dan memajukan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka," kata Duta Besar AS ke India Sergio Gor dalam catatan di X.

"Kami membincangkan kemajuan yang berterusan dalam Perkongsian Strategik Global Komprehensif India-AS dan isu berkaitan keamanan serta keselamatan serantau dan global," kata perdana menteri India di X.

Quad, yang terdiri daripada Australia, India, Jepun dan AS, akan "berbincang mengenai perkembangan terkini di rantau Indo-Pasifik dan isu antarabangsa lain yang menjadi perhatian bersama" pada mesyuarat peringkat menteri pada Selasa, menurut Kementerian Luar Negeri India pada Jumaat.

Menteri Luar Australia Penny Wong, diplomat tertinggi Jepun Toshimitsu Motegi dan Rubio juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari India, Subrahmanyam Jaishankar.

Para menteri berkenaan dijangka membincangkan kerjasama dalam rantaian bekalan tenaga dan mineral kritikal susulan konflik ketenteraan Asia Barat, menurut laporan media Jepun.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement