Skip to main content

Malaysia

Krisis tenaga global tak jejas kemajuan Projek RTS Link - Loke

JOHOR BAHRU, 3 April -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Kompleks ICQ serta Stesen RTS Bukit Chagar di sini hari ini._BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap kepada pemberita selepas melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link dan Kompleks ICQ serta Stesen RTS Bukit Chagar hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Krisis tenaga global diyakini tidak memberi kesan terhadap kemajuan dan kos keseluruhan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang turut meliputi pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) dan Stesen Bukit Chagar.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ketika ini kerja fizikal projek stesen dan kompleks berkenaan sudah berada di fasa akhir penyiapan dan dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan seperti dijadualkan.

“Sekarang ini ialah fasa pemasangan sistem, jadi ia tak melibatkan banyak dari segi kos bahan api dan sebagainya. Saya yakin ia tidak memberikan kesan kepada projek ini.

“Setakat ini pun saya belum diberikan atau dibangkitkan apa-apa permintaan daripada pihak kontraktor berkenaan kenaikan kos kepada projek ini. Jadi saya yakin bahawa kos ini masih dapat dikawal mengikut kos asal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek RTS Link dan Kompleks ICQ serta Stesen RTS Bukit Chagar di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim. 

Beliau berkata RTS Link kini memasuki fasa cukup penting dan kritikal iaitu ujian serta pengoperasian, merangkumi pemasangan sistem, ujian penerimaan, integrasi serta ujian dinamik, yang akan membawa kepada peringkat Kesediaan Tapak Akhir (FFR) September ini.

Berhubung penyuraian trafik di bandar raya ini setelah RTS Link mula beroperai, beliau berkata kerajaan merancang untuk menyambungkan semua laluan tanjakan ke stesen Bukit Chagar yang dijangka siap menjelang Mei, serta menyediakan empat lokasi drop-off untuk kemudahan penumpang.

Selain itu, beliau berkata stesen berkenaan akan diintegrasikan dengan JB Sentral melalui laluan pejalan kaki bagi memudahkan penumpang KTM Komuter.

Loke berkata perkhidmatan bas henti-henti seperti BAS.MY juga akan diperluas, selain usaha mewujudkan hab bas pengantara berhampiran stesen bagi membantu penumpang bergerak ke kawasan lain di Johor Bahru.

“Kita akan kenal pasti satu lokasi yang sesuai untuk dijadikan hab bas pengantara antara JB Sentral dan Stesen Bukit Chagar. Bas pengantara ini penting untuk membantu pengguna RTS bergerak ke kawasan lain di Johor Bahru,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pemasangan e-gate di Kompleks ICQ telah siap sepenuhnya, manakala kerja pemasangan peralatan saringan badan dan pengimbas bagasi telah dimulakan, dua bulan lebih awal daripada sasaran asal pada Mei 2026.

“Terdapat 10 lorong saringan keselamatan, 18-unit pengimbas bagasi, serta 100 laluan e-gate termasuk laluan khas untuk penumpang tanpa bagasi dan semuanya telah siap dipasang,” katanya.

Loke berkata beliau juga akan ke Singapura penghujung bulan ini bagi membincangkan laporan kemajuan projek itu dengan rakan sejawatnya serta melawat Stesen Woodlands North di negara itu. 

“Ini untuk memastikan kedua-dua pihak ada pengintegrasian terbaik dan saya yakin pihak Singapura juga ingin melihat projek ini siap ikut jadual dan dapat dibuka menjelang Januari 2027,” katanya.

Projek RTS Link yang dijangka beroperasi Januari 2027, mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala dengan menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura dalam masa lima minit.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video