Skip to main content

Malaysia

Krisis bekalan global: Sebilangan kecil item ubat, peranti perubatan hadapi risiko tinggi - Menteri Ekonomi

Sumber: Kementerian Ekonomi
Akmal (foto) berkata majoriti bekalan ubat negara berada pada tahap stabil, malah perkara itu merupakan antara fokus utama perbincangan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 12, pada Isnin.

PUTRAJAYA: Sebanyak 16.8 peratus bekalan ubat negara berada pada tahap risiko tinggi setakat 8 Mei dan memerlukan pemantauan serta tindakan mitigasi berterusan susulan krisis bekalan global.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bagaimanapun berkata, majoriti bekalan ubat negara berada pada tahap stabil, malah perkara itu merupakan antara fokus utama perbincangan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 12, pada Isnin.

"Daripada keseluruhan item ubat yang direkodkan, 72 peratus berada pada tahap risiko rendah dan 11.3 peratus pada tahap risiko sederhana.

"Bagi peranti perubatan pula, sebanyak 81.7 peratus berada pada tahap risiko rendah, 13.5 peratus pada tahap risiko sederhana.

"Manakala 4.8 peratus dikenal pasti berisiko tinggi akibat kebergantungan terhadap sumber import bagi bahan mentah dan komponen utama," jelas Akmal ketika Taklimat Krisis Bekalan Global, pada Isnin.

Tegas Akmal, MTEN memberi jaminan kepada pesakit dan warga emas bahawa bekalan ubat negara dan peranti perubatan adalah stabil dan terkawal.

"Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi secara berfasa dan tersusun sejak awal krisis berlaku.

"Antaranya pemantauan bekalan secara berkala menerusi Pasukan Petugas Khas, pengukuhan stok penimbal nasional bagi item ubat berisiko tinggi serta diversifikasi sumber bekalan melalui kerjasama strategik dengan negara seperti China, Jepun dan Uzbekistan.

"Selain itu, kerajaan turut mengaktifkan Laluan Akses Khas bagi mempercepatkan kelulusan import ubat kritikal serta memperkasa pembangunan industri tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap produk import," kata Akmal.

Seterusnya, MTEN juga bersetuju supaya KKM meneruskan langkah mitigasi secara berterusan terutama bagi item kritikal dan berisiko tinggi.

“Sebarang pelarasan kos akan dibuat secara bersasar berdasarkan tahap risiko dan keperluan sebenar,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement