KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) belum menerima sebarang laporan berhubung ketidakcukupan bekalan makanan setakat ini, termasuk pada musim perayaan berikutan krisis bekalan global.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM Datuk Luqman Ahmad berkata daripada simulasi yang dijalankan dengan mengambil kira keadaan cuaca yang tidak menentu, bekalan makanan negara mencukupi sehingga Jun ini.
“Bagi bulan berikutnya, KPKM mempunyai pelbagai pendekatan dalam memastikan kestabilan bekalan terjamin.
“Jika bekalan tidak mencukupi, kami ada ruang untuk membawa masuk bekalan segera daripada negara pengeluar kerana majoriti barangan yang kami import adalah dari negara yang tidak terlibat dengan krisis di Asia Barat,” katanya pada Majlis Perasmian Jualan Agro MADANI Mega di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 juga memperuntukkan RM30 juta setahun bagi pemerkasaan usahawan, infrastruktur dan keterjaminan makanan yang dilaksanakan oleh KPKM.
Sementara itu, Luqman berkata Program Jualan Agro MADANI Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan nilai jualan mencecah RM101 juta tahun lepas, menerusi 4,695 program di seluruh negara dan memberi manfaat kepada lebih 6.89 juta pengguna.
“Bagi tahun ini, sebanyak 561 program telah dilaksanakan dengan nilai jualan mencecah RM8.5 juta sehingga 17 Mei lepas.
“Malah, bagi penganjuran selama tiga hari di Kelantan bermula semalam, kami sasarkan kehadiran pengunjung sebanyak 50,000 orang dengan nilai jualan RM750,000 membabitkan 204 lot jualan oleh 204 usahawan,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 11,400 unit kupon bernilai RM5 turut disediakan kepada pengunjung bagi pembelian produk segar terpilih termasuk ayam, daging, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran serta jualan istimewa kombo MADANI dan harga happy hour.
“Pengunjung juga berpeluang menerima baucar Agrobazaar Online bernilai RM5 dan RM10 bagi pembelian RM15 dan RM30 ke atas di reruai pameran FAMA.
“Inisiatif ini dilihat mampu membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di samping menggalakkan pembelian terus daripada usahawan tempatan tanpa melibatkan orang tengah,” katanya.
-- BERNAMA