Skip to main content

Malaysia

KPDN ambil maklum mesej tular harga LPG, panggil syarikat untuk penjelasan

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum mengenai mesej tular berhubung pelarasan harga gas petroleum cecair (LPG) oleh sebuah syarikat di Negeri Sembilan.
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil maklum mengenai mesej tular berhubung pelarasan harga gas petroleum cecair (LPG) oleh sebuah syarikat di Negeri Sembilan.

KPDN dalam perkongsian di Facebook memaklumkan pelarasan harga yang dipapar melibatkan silinder gas komersial dan bukan silinder gas domestik bersubsidi.

“Bagaimanapun, satu tindakan segera telah diambil bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk mendapatkan penjelasan bersandarkan perundangan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” katanya. 

Menurut perkongsian itu, sebarang kenaikan harga dalam senarai barang kawalan seperti LPG perlu dirujuk kepada pihak KPDN.

Terdahulu, tular notis pemakluman sebuah syarikat mengenai pelarasan harga LPG melibatkan C14C (14 kilogram komersial) iaitu kenaikan RM14 bagi setiap tong dan C50 (50 kilogram) dengan kenaikan RM50 setiap tong. 

Pengguna dinasihat melaporkan sebarang maklumat tidak sahih atau memanjangkan aduan kepada KPDN menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my), pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video