KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil pendekatan bertindak awal dan proaktif dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk potensi kejutan harga tenaga, bagi memastikan ekonomi negara dan kebajikan rakyat terus terlindung, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu berkata situasi semasa bukan lagi boleh ditangani menerusi pendekatan biasa, sebaliknya memerlukan perancangan rapi merangkumi pelbagai senario, termasuk kemungkinan terburuk, berikutan risiko luaran yang boleh berubah dengan pantas.
"Dalam keadaan seperti ini, kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada satu andaian.
"Kita perlu melihat senario terbaik, asas dan terburuk, serta bersedia mengambil tindakan lebih awal tanpa menunggu krisis benar-benar berlaku," katanya.
Tengku Zafrul, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata kerajaan telah memperkukuh mekanisme pemantauan dan penyelarasan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri dan bersidang secara mingguan.
Menurut beliau, antara keutamaan ketika ini adalah memastikan kesinambungan bekalan bahan api dan kestabilan harga domestik, di samping mengurus implikasi fiskal secara berhemah.
Katanya, PETRONAS telah mengesahkan bekalan bahan api negara adalah mencukupi sehingga sekurang-kurangnya penghujung Mei, manakala kerajaan mengekalkan subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter meskipun kos sebenar subsidi meningkat ketara susulan kenaikan harga minyak global.
Beliau berkata langkah-langkah tertentu yang dilaksanakan, termasuk pengurusan kuota dan pelaksanaan skim subsidi bersasar, bukanlah tindak balas panik, sebaliknya sebahagian daripada pendekatan pengurusan risiko yang tersusun dan berperingkat.
“Keutamaan kita ialah melindungi rakyat dan sektor ekonomi utama tanpa menjejaskan disiplin fiskal negara. Setiap keputusan yang dibuat mempunyai implikasi kewangan yang nyata dan dipertimbangkan secara teliti,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, pengalaman mengurus krisis sebelum ini, termasuk Krisis Kewangan Asia dan pandemik COVID-19, menunjukkan bahawa tindakan yang lebih awal walaupun berasaskan maklumat tidak sempurna sering kali lebih berkesan berbanding menunggu data lengkap apabila keadaan sudah meruncing.
Dalam hal itu, beliau berkata kerajaan kini memberi penekanan kepada pemantauan data masa nyata serta penyelarasan rapat antara kementerian dan agensi bagi memastikan sebarang tekanan terhadap ekonomi dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
Beliau menambah bahawa komunikasi yang jelas dan konsisten kepada pasaran serta orang ramai juga merupakan elemen penting dalam pendekatan semasa, bagi mengekalkan keyakinan dan mengelakkan reaksi keterlaluan akibat ketidaktentuan luaran.
“Dalam situasi sebegini, kelajuan tindakan itu sendiri adalah mesej kepada pasaran dan rakyat bahawa kerajaan memantau keadaan secara rapi dan bersedia bertindak apabila diperlukan,” katanya.