KUALA LUMPUR: Rakyat dan sektor perniagaan digesa agar lebih berjimat cermat serta mengawal perbelanjaan susulan risiko kesan ekonomi global akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan geopolitik semasa termasuk serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi dunia, khususnya dari segi kos pengangkutan, perdagangan dan harga barangan import.
Menurut beliau, kerajaan sedang memantau rapi situasi berkenaan dan mengambil langkah awal bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.
“Setakat ini kita masih boleh bertahan dalam tempoh satu hingga dua bulan, tetapi petanda awal tidak begitu baik.
“Jika keadaan ini berlanjutan, kos barangan termasuk makanan dan import untuk syarikat kecil dan sederhana akan meningkat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di IOI City Mall di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, antara faktor yang menimbulkan kebimbangan ialah gangguan laluan perkapalan di kawasan Teluk yang menyebabkan lebih 200 kapal membawa minyak, gas serta barangan dagangan utama terkandas atau terpaksa menggunakan laluan lebih jauh.
Situasi itu, katanya, dijangka meningkatkan kos logistik dan akhirnya memberi tekanan kepada harga barangan di pasaran.
Sehubungan itu, Anwar mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil ringan keadaan semasa dan mula berbelanja secara berhemah.
“Saya suruh supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan pekerja dan peniaga waspada dan tidak memandang ringan perkara ini. Jika keadaan berterusan, ia boleh menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada dijangka.
“Saya tidak mahu pandangan yang terlalu selesa, perbelanjaan tidak terkawal, serta amalan boros dan membazir,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada RM1.99 seliter buat masa ini, sambil terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan kestabilan ekonomi negara.
Anwar turut memaklumkan beliau telah berhubung dengan beberapa pemimpin negara termasuk Presiden Recep Tayyip Erdogan, Presiden Prabowo Subianto serta pemimpin dari beberapa negara Asia Barat bagi mengikuti perkembangan terkini situasi tersebut.