Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Keselamatan jemaah haji dipantau rapi - Zulkifli

PUTRAJAYA, 9 April -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada pemberita semasa hadir menunaikan Solat Maghrib, Solat Hajat serta menyertai bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali, sebelum disusuli dengan Solat Isyak dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Putra malam ini._BERNAMA
Zulkifli berkata kerajaan yakin dengan keupayaan dan pengalaman jentera TH dalam mengurus operasi haji, sekali gus mampu memastikan kebajikan 31,600 jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara walaupun berdepan cabaran tidak dijangka. - Gambar/ Bernama

SEPANG: Keselamatan petugas dan jemaah haji Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan. 

Beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan segera sekiranya timbul sebarang situasi kecemasan melibatkan jemaah.

Langkah kesiapsiagaan itu turut merangkumi pelaksanaan perancangan senario menyeluruh yang telah disusun lebih awal bagi menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang musim haji.

"TH sudah menubuhkan jawatankuasa khas, dan kita memantau dari semasa ke semasa … ," katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Haji, di sini hari ini.

Zulkifli berkata kerajaan yakin dengan keupayaan dan pengalaman jentera TH dalam mengurus operasi haji, sekali gus mampu memastikan kebajikan 31,600 jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara walaupun berdepan cabaran tidak dijangka.

"Apa pun, kita yakin bahawa dengan keseluruhan jentera yang kita ada, dan juga dengan kemampuan yang ada pada TH, insya-Allah kita akan dapat menyantuni dan mendepani setiap cabaran yang mungkin berlaku. Kita doakan semoga semuanya berjalan dengan baik," katanya.

Musim Haji 1447H/2026M akan melibatkan 31,600 jemaah Malaysia, dengan penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 18 April, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei.

Hari wukuf, yang juga kemuncak ibadah haji, dijangka jatuh pada 26 Mei ini.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video