KUALA LUMPUR: Siapa tahu secara muktamad sama ada rundingan Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menamatkan konflik yang masuk minggu keempat benar-benar berlangsung secara progresif?
Berdepan dengan cabaran ketidaktentuan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Danial Rahim mencadangkan empat langkah untuk menangani cabaran kenaikan harga minyak.
Konflik Asia Barat: CEO ASLI cadang empat langkah tangani kenaikan harga minyak
- Penyasaran subsidi
Danial mencadangkan agar dasar rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini; BUDI95, BUDI MADANI (BUDI MySubsidi Diesel, BUDI Agri-Komoditi atau BUDI Individu) dan subsidi diesel bagi pengguna di Sabah dan Sarawak, diteruskan.
- BNM dan OPR
Tambahnya, Bank Negara Malaysia (BNM) pula perlu terus memantau penetapan kadar dasar semalaman (OPR) agar tidak menyebabkan kenaikan kadar inflasi secara mendadak.
- Kurangkan penggunaan bahan api
Beliau turut mencadangkan agar tindakan diambil untuk mengurangkan penggunaan bahan api melalui pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR), ketetapan hadir bekerja pada hari berselang-seli atau penangguhan pelaksanaan beberapa projek tidak kritikal.
- Sumber ekonomi
Danial juga mencadangkan agar Malaysia mempelbagaikan sumber ekonomi agar tidak bergantung kepada sektor yang bergantung kepada perubahan harga minyak.
Untuk konteks, Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran telah memaksa republik Islam itu menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan perdagangan bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak global.
Lanjutan itu, harga minyak mengalami lonjakan mendadak dengan minyak Brent memuncak pada kadar AS$119 setong pada 19 Mac lalu. Setakat Khamis, harga minyak mentah tersebut direkodkan pada AS$107 setong.
Situasi ini juga telah menyebabkan bekalan bahan api ke banyak negara terganggu sehingga menyebabkan negara-negara seperti Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar, dan Filipina bertindak memperkenalkan dasar yang membantu mengurangkan penggunaan bahan api; inisiatif bekerja dari rumah (BDR), mengurangkan hari bersekolah dalam seminggu dan sebagainya.
Dialog Tiga Penjuru: Perang Dunia Ketiga, Perang Ekonomi?