Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Agensi umrah diseru bersikap fleksibel bantu jemaah tangguh perjalanan

61711326667_MekahKaabahUmrah.jpg
Pihak industri sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia mempertimbangkan pertukaran tarikh perjalanan berdasarkan permintaan jemaah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Muslim Malaysia (MYTRA) menggesa agar agensi pelancongan di bawah naungannya supaya bersikap fleksibel dalam membantu jemaah yang berhasrat menangguhkan perjalanan untuk menunaikan ibadah umrah susulan konflik di Asia Barat.

Presiden MYTRA Muhammad Syazri Afiq Rosli berkata meskipun operasi umrah ketika ini berjalan seperti biasa tanpa sebarang arahan penangguhan rasmi, pihak industri sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia mempertimbangkan pertukaran tarikh perjalanan berdasarkan permintaan jemaah.

“Pihak persatuan sentiasa menggalakkan agensi untuk membantu jemaah sebaik mungkin termasuk dari segi pertukaran tarikh namun ia tetap bergantung kepada polisi syarikat penerbangan dan hotel yang telah dipersetujui.

“Setakat ini, hanya sebilangan kecil jemaah bertanya mengenai kemungkinan menunda perjalanan sebagai langkah berjaga-jaga manakala sebahagian besar masih meneruskan perancangan berikutan situasi di Makkah dan Madinah yang kekal terkawal,” katanya kepada Bernama.

Senada dengan beliau, Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours Sdn Bhd Adam Jalal berkata agensi kini memberi pilihan kepada jemaah untuk menangguhkan perjalanan mereka ke musim depan sekiranya mendapat kerjasama daripada pihak syarikat penerbangan dan hotel.

Beliau turut menasihati jemaah yang berhasrat meneruskan perjalanan supaya mengambil perlindungan insurans kategori tertinggi bagi mendepani risiko luar jangka seperti terkandas akibat penutupan ruang udara secara mengejut.

“Bagi penerbangan yang tidak memberikan opsyen penangguhan, kami tetap teruskan namun risiko telah dimaklumkan kepada jemaah... jemaah yang melakukan perjalanan secara sendiri perlu lebih berwaspada kerana mereka tidak mempunyai sokongan terus daripada agensi muasasah sekiranya berlaku kecemasan,” katanya sambil menambah bulan Ramadan dan Syawal ialah kemuncak bagi umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah umrah.

Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim pula berkata keamanan perjalanan ialah elemen kritikal dalam menentukan syarat istita’ah (kemampuan) seseorang untuk menunaikan ibadah itu.

“Sekiranya dinilai perjalanan itu tidak selamat disebabkan peperangan maka elok ditangguhkan... malah, dari sudut fiqh aulawiyat (keutamaan), dana yang ingin digunakan untuk umrah berulang kali itu boleh disalurkan kepada yang lebih memerlukan seperti bantuan kepada Palestin,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil menasihati umat Islam agar menangguhkan perjalanan ke kawasan berpotensi terjejas akibat situasi keselamatan yang tidak menentu di beberapa kawasan Asia Barat sehingga keadaan kembali stabil dan selamat.

Ahmad Fauwaz berkata keputusan itu selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) sekiranya keadaan keselamatan didapati tidak terjamin.

-- BERNAMA

Must Watch Video