KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan setiap rakyat, sama ada di bandar mahu pun desa, menikmati pembangunan dan kemudahan asas yang sewajarnya tanpa dipinggirkan.
Perdana Menteri menyatakan perkara itu dalam hantaran ringkas melalui Facebook hari ini, sebagai reaksi kepada penghargaan daripada penduduk Kampung Chatel Damai, Lata Rek di Kuala Krai, Kelantan terhadap pembinaan jambatan baharu di kampung berkenaan.
Jambatan yang telah siap sepenuhnya itu adalah bagi menggantikan titi gantung berusia 24 tahun yang runtuh pada 1 Jan lepas.
Pada 2 Jan lepas, Anwar telah mengarahkan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan segera titi gantung yang runtuh di Lata Rek untuk menjamin keselamatan dan kemudahan rakyat.
Media sebelum ini melaporkan suasana meriah majlis perkahwinan sepasang pengantin bertukar cemas apabila titi gantung yang dilalui tetamu mereka tiba-tiba runtuh menyebabkan lebih 50 orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.
Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan Jasri Kasim sebelum ini berkata kos pembinaan jambatan besi sepanjang 50 meter dan lebar tiga meter itu dianggarkan kurang daripada RM400,000.
-- BERNAMA