KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah Brent meningkat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan, tiada sebarang keperluan untuk membuat perubahan drastik terhadap dasar berkaitan harga bahan api domestik, termasuk mengambil kira situasi yang berlaku di negara jiran.
Jelas beliau, komitmen itu selaras dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa harga domestik RON95 tidak akan terkesan walaupun berlaku turun naik harga minyak global.
"Ya, komitmen daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) itu sangat jelas. Cuma, sudah pasti ketika ini, pasaran sedang berubah-ubah.
"Jadi, bagi Kementerian Ekonomi, kami memantau dengan teliti apa yang sedang berlaku. Namun, ia tidak memberikan sebarang petunjuk kepada kerajaan untuk membuat sebarang perubahan drastik dari segi dasar, termasuk apa yang berlaku di negara jiran.
"Maksud saya, itulah pendekatan yang diambil (oleh negara jiran). Bagi kami pula, kami mengekalkan keadaan seperti sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026, di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Jaafar.
Menurutnya, Kementerian Ekonomi sentiasa memantau pergerakan harga minyak mentah Brent bagi memastikan komitmen itu dapat dilaksanakan secara berkesan.
Bagaimanapun, beliau berkata, mekanisme pelaksanaan bagi menentukan komitmen seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri masih perlu diperincikan dan diputuskan.
"Kita tahu bahawa di Malaysia ini, kita dah laksanakan subsidi bersasar, yang mana kita masih mengekalkan harga yang munasabah kepada rakyat melalui mekanisme sedia ada,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang peningkatan harga minyak mentah global juga berpotensi memberi implikasi kepada peruntukan subsidi petroleum negara.
Akmal Nasrullah menjelaskan, aspek tersebut diteliti secara terperinci oleh Kementerian Kewangan (MOF), khususnya dari segi komitmen perbelanjaan dan kesan terhadap kedudukan fiskal kerajaan.
Pada Isnin media melaporkan harga minyak melonjak kira-kira tujuh peratus ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa bulan pada Isnin apabila Iran dan Israel meningkatkan serangan di Asia Barat, sekali gus merosakkan kapal tangki serta mengganggu penghantaran dari rantau pengeluar utama itu.