Skip to main content

Malaysia

Komplot jatuhkan kerajaan: Seorang direkod keterangan, lagi individu dijangka dipanggil

PUTRAJAYA, 5 Mac -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) meluncurkan buku Strategi Pencegahan Rasuah (IACS) Jabatan Imigresen Malaysia pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Setia Perkasa hari ini.  Turut sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (dua, kiri), Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Datuk Makhzan Mahyuddin (kiri), Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail (dua, kanan) dan Ketua Pengarah Imigresen D
Mohd Khalid Ismail (kanan), berkata individu berkenaan tampil memberi keterangan secara sukarela kepada polis pada 26 Februari lalu, iaitu pada hari laporan polis berhubung perkara itu dibuat. - Gambar/ BERNAMA

PUTRAJAYA: Polis sudah merekodkan kenyataan seorang individu berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara yang didakwa membabitkan individu berpengaruh dengan agensi media antarabangsa. 

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata individu berkenaan tampil memberi keterangan secara sukarela kepada polis pada 26 Februari lalu, iaitu pada hari laporan polis berhubung perkara itu dibuat. 

Beliau berkata, selain itu, tiga hingga empat individu lagi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes terbabit dijangka dipanggil dalam masa terdekat. 

"Kita sudah dapat beberapa nama-nama, saya sedang berusaha untuk dapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka yang berkaitan. 

"Setakat ini kita baru ambil (keterangan daripada) seorang tapi kita ada lagi dalam tiga empat orang lagi yang perlu kita panggil untuk beri kenyataan. 

"Keterangan individu berkenaan juga panjang dan memakan masa untuk diambil, justeru pihaknya memerlukan masa untuk meneliti maklumat yang diperoleh," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, pada Khamis. 

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, siasatan berhubung perkara itu memerlukan pendekatan menyeluruh dan berhati-hati kerana melibatkan aspek keselamatan negara. 

Ditanya sama ada balu Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, akan dipanggil untuk memberitahu keterangan, beliau berkata: 

"Kita belum pasti lagi perkara itu, jadi berperingkat-peringkat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini individu yang dikenal pasti adalah rakyat tempatan, manakala sebarang kemungkinan penglibatan rakyat asing hanya dapat ditentukan selepas siasatan lanjut dijalankan. 

Mohd Khalid berkata, semua isu berkaitan keselamatan negara perlu ditangani dengan teliti bagi mengelakkan timbulnya kesangsian dalam kalangan rakyat. 

"Kita mahu supaya negara ini berada dalam landasan yang betul ke arah lebih progresif pada masa akan datang," katanya. 

"Kerajaan memerlukan satu tindakan yang menyeluruh dan kita kena kenal pasti isu-isu yang berkaitan. 

"Jadi kita perlu bersabar dalam memastikan perkara ini dapat kita selesaikan dengan baik tanpa merosakkan apa-apa juga isu-isu yang berkaitan dengan kerajaan," katanya. 

Katanya, perkara itu ditangani dengan teliti supaya tidak menimbulkan kesangsian dalam kalangan rakyat selain menjamin keselamatan negara. 

Pada 3 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka. 

Sementara itu, pada 27 Februari lalu, Na'imah menerusi satu kenyataan memaklumkan terkejut dengan laporan polis difailkan seorang individu yang mendakwanya terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan. 

Menurutnya, laporan polis itu difailkan seorang individu yang pernah menawarkan khidmatnya sebagai sebahagian daripada pasukan komunikasi pada Julai lalu. 

Media semalam melaporkan peguam keluarga Allahyarham Daim, Nizamuddin Hamid menafikan terbabit dalam usaha menggulingkan kerajaan seperti didakwa pihak tertentu dan menyifatkannya sebagai antara pembohongan besar.

Beliau dan rakan peguam, Amir Zariff Abdullah dikatakan antara dua nama yang dimasukkan dalam laporan polis selepas didakwa terbabit dalam 'komplot' bersama balu Daim.

Must Watch Video