Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: AS terus elak tanggungjawab serangan sekolah di Iran

Minab Iran
Serangan yang berlaku pada 28 Februari di bandar Minab, selatan Iran itu mengakibatkan 73 pelajar lelaki dan 47 pelajar perempuan terbunuh. - Foto fail/AP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mengelak daripada mengakui tanggungjawab berhubung serangan ke atas sebuah sekolah di Iran yang mengorbankan kira-kira 170 orang, kebanyakannya pelajar, dalam insiden yang berlaku pada hari pertama konflik antara kedua-dua negara.

Komander AS di Asia Barat, Laksamana Brad Cooper, berkata siasatan berhubung kejadian itu masih berjalan dan bersifat kompleks, sekali gus enggan membuat pengesahan jelas mengenai peranan Washington.

Beliau memberitahu panel pengawasan Kongres bahawa sekolah berkenaan didakwa terletak di kawasan pangkalan peluru berpandu jelajah milik Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang menurutnya menyukarkan proses penilaian terhadap serangan tersebut.

Katanya, faktor lokasi itu menjadikan siasatan lebih rumit berbanding operasi ketenteraan biasa.

Serangan yang berlaku pada 28 Februari di bandar Minab, selatan Iran itu mengakibatkan 73 pelajar lelaki dan 47 pelajar perempuan terbunuh.

Turut terkorban ialah 26 guru, tujuh ibu bapa, seorang pemandu bas sekolah dan seorang lagi individu awam.

Insiden berkenaan mencetuskan kecaman meluas berikutan jumlah korban yang tinggi, khususnya melibatkan kanak-kanak dan warga sekolah.

Dalam sesi pendengaran itu, anggota kanan Jawatankuasa Perkhidmatan Angkatan Tentera Dewan Perwakilan, Adam Smith, mempersoalkan kegagalan pihak tentera AS untuk segera mengakui kesilapan.

Beliau berkata, dalam kes-kes terdahulu, pihak tentera lazimnya membuat pengakuan awal walaupun siasatan lanjut masih dijalankan.

Namun, Cooper hanya menyatakan bahawa hasil siasatan akan dikongsi selepas ia selesai, tanpa mengesahkan sebarang tanggungjawab.

Smith kemudian menyifatkan jawapan itu sebagai penolakan tidak langsung untuk bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.

Setakat ini, AS berulang kali mengelak daripada membuat pengakuan rasmi berhubung serangan itu, dengan alasan siasatan masih belum selesai.

Washington juga menegaskan bahawa semua operasi ketenteraan dijalankan berdasarkan maklumat risikan dan sasaran yang dikenal pasti sebagai berkaitan aktiviti ketenteraan.

Serangan itu terus menambah ketegangan antara AS dan Iran, dengan Tehran sebelum ini mengecam tindakan tersebut dan menuduh Washington melanggar undang-undang antarabangsa.

Keputusan siasatan yang masih tertangguh dijangka menjadi tumpuan utama komuniti antarabangsa, khususnya dalam menentukan sama ada insiden itu melibatkan kesilapan ketenteraan atau pelanggaran serius terhadap perlindungan orang awam.
 

 

Must Watch Video

Advertisement