Isu mengenai kesahan titah Yang di-Pertuan Besar (YDPB) dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April 2026 perlu dianalisis secara ketat menurut kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) serta prinsip asas tadbir urus berperlembagaan.
Penilaian ini menuntut pendekatan berasaskan doktrin ultra vires, prinsip kedaulatan Raja-Raja, dan pematuhan terhadap syarat mandatori yang diperuntukkan oleh UUTKNS sendiri kerana ia melibatkan prerogatif yang dijamin oleh UUTKNS dan Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip undang-undang yang tidak dinyatakan dalam UUTKNS tidak boleh diimport kerana terdapat sekatan di bawah Perkara 79 UUTKNS yang menetapkan bahawa melainkan dinyatakan secara jelas, UUTKNS tidak boleh menyentuh prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar serta Pembesar Memerintah. Pembesar Memerintah di sini merujuk kepada Undang Luak yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Persoalan sama ada titah yang tidak mematuhi Perkara 40(2)(d) dan Perkara 28 UUTKNS boleh dianggap sebagai keputusan sah bergantung pada pematuhan terhadap syarat mandatori. Perkara 28 dengan jelas mensyaratkan bahawa dalam pelaksanaan fungsi DKU di bawah Perkara 16, keputusan mesti dicapai oleh YDPB dengan persetujuan majoriti Undang Luak yang Empat.
Peruntukan ini bersifat mandatori kerana ia menyentuh struktur adat Melayu yang menjadi asas pemerintahan Negeri Sembilan. Hal ini termaktub dalam Perkara 40(2)(d) UUTKNS. Dalam hal adat, sekiranya empat Undang Luak sedang memerintah, sekurang-kurangnya tiga persetujuan diperlukan.
Jika hanya tiga Undang Luak memerintah, dua persetujuan diperlukan. Oleh itu, titah yang dikeluarkan tanpa memenuhi ambang persetujuan tersebut bukanlah keputusan DKU, malah merupakan pelanggaran nyata terhadap UUTKNS.
Berdasarkan fakta, mesyuarat DKU pada 17 April 2026 dihadiri YDPB, Undang Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong. Walaupun korum kehadiran mungkin dipenuhi, isu sebenar ialah ketiadaan persetujuan majoriti Undang Luak yang Empat.
Dakwaan tiga ahli DKU bahawa tiada persetujuan dibuat dan YDPB bertindak secara unilateral menunjukkan bahawa tiada keputusan DKU berlaku. Maka, kenyataan Menteri Besar pada 19 April 2026 yang disifatkan sebagai satu pembohongan oleh tiga ahli DKU tidak boleh diklasifikasikan sebagai keputusan sah di sisi undang-undang.
Berhubung isu pematuhan due process di bawah Perkara 16 UUTKNS, prinsip asas menuntut bahawa setiap tindakan yang melibatkan hak, kedudukan atau kepentingan pihak tertentu mesti melalui proses yang dianggap adil oleh ahli DKU sendiri, khususnya YDPB dan Pembesar Memerintah.
Hal ini tidak berlaku kerana dibantah oleh tiga ahli DKU serta kegagalan mematuhi Perkara 28 UUTKNS. Mereka turut menegaskan ketidakaturan proses kerana tidak semua pihak berkepentingan dipanggil.
Prosiding DKU sememangnya berbeza daripada mahkamah kerana melibatkan kuasa prerogatif, namun syarat kuorum dan persetujuan tetap menjadi asas integriti. Perkara 16(3) pula menghalang mahkamah daripada mencampuri keputusan DKU.Justeru, persoalan utama ialah sama ada titah YDPB boleh dianggap sebagai keputusan DKU.
Tindakan Undang Luak yang Empat pada 19 April 2026 perlu dinilai dalam konteks Perkara 10 UUTKNS yang memberikan prerogatif kepada mereka untuk menentukan kedudukan YDPB. Fakta bahawa siasatan telah dijalankan sejak 5 Mac 2026 menunjukkan keputusan tersebut tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas pertimbangan yang munasabah dan berasas.
Dalam doktrin undang-undang pentadbiran, keputusan yang dibuat selepas siasatan mencukupi dan berdasarkan fakta relevan lazimnya diberikan penghormatan tinggi (deference), khususnya apabila melibatkan badan atau individu yang mempunyai prerogatif dan bidang kuasa asal (original jurisdiction). Tambahan pula, Perkara 29 UUTKNS memperuntukkan bahawa kuasa dan tugas Undang Luak dianggap sempurna jika dilaksanakan oleh sekurang-kurangnya tiga orang Undang Luak yang masih memerintah.
Perlindungan terhadap kuasa ini turut diperkuatkan oleh Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan:
71(1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta sebagai Raja mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.
71(2) Fasal (1) hendaklah, dengan ubah suaian yang perlu, terpakai berhubung dengan seseorang Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan sebagaimana Fasal itu terpakai bagi Raja sesuatu Negeri.
Peruntukan ini memberikan jaminan bahawa kedudukan dan prerogatif Pembesar Memerintah Negeri Sembilan, termasuk Undang Luak yang Empat, dilindungi sepenuhnya oleh Persekutuan dan tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak luar.
Dalam struktur perlembagaan Negeri Sembilan, Menteri Besar (MB) tidak mempunyai locus standi untuk terlibat dalam pelantikan atau pelucutan YDPB kerana kuasa tersebut eksklusif kepada Undang Luak yang Empat. Oleh itu, sebarang tindakan MB yang enggan melaksanakan kewajipan perlembagaan, seperti menyediakan atau menandatangani proklamasi di bawah Perkara 10(2), boleh dianggap sebagai pelanggaran prinsip constitutional duty.
Proklamasi tersebut bersifat deklaratori dan bukan konstitutif. Kesahan keputusan tidak bergantung kepada proklamasi, sebaliknya proklamasi hanya berfungsi sebagai pengisytiharan rasmi kepada umum. Maka, kegagalan mengeluarkan proklamasi tidak menjejaskan kesahan substantif keputusan Undang Luak yang Empat.
Bagi kedudukan YTM Undang Luak Sungei Ujong, remedi yang wajar ialah kembali kepada mekanisme UUTKNS. Mesyuarat DKU boleh dipanggil semula oleh Undang Luak yang sah dengan memastikan pematuhan ketat terhadap korum, kelayakan keahlian, dan pengunduran pihak yang mempunyai konflik kepentingan.
Alternatifnya, Undang Luak boleh menggunakan prerogatif mereka untuk menyemak semula keputusan terdahulu bagi mengukuhkan kedudukan perundangan.
Akhir sekali, perlu ditegaskan bahawa DKU tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan keabsahan YDPB. Kuasa prerogatif itu terletak pada Undang Luak yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS, dilindungi oleh Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 79 UUTKNS. Prosedur yang betul dalam menentukan kedudukan YDPB adalah seperti termaktub dalam Perkara 10 UUTKNS di samping pelaksanaan prerogatif oleh Undang Luak yang memerintah pada ketika itu.
Kesimpulannya, analisis perundangan menunjukkan bahawa titah YDPB pada 17 April 2026 bukanlah keputusan DKU, malah merupakan pelanggaran UUTKNS yang boleh menambah alasan pemberhentian baginda kerana sengaja mengabaikan peruntukan UUTKNS.
Sebaliknya, tindakan Undang Luak yang Empat pada 19 April 2026 mempunyai asas perlembagaan yang lebih kukuh, tertakluk kepada pematuhan syarat mandatori. Penyelesaian isu ini mesti berpaksikan prinsip keluhuran undang-undang serta penghormatan terhadap struktur perlembagaan Negeri Sembilan.
*Mohd Zainuddin Omar merupakan peguam bela dan peguam cara
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.