Skip to main content

Dunia

AS hantar kapal pengangkut pesawat kedua sertai sekatan laut terhadap Iran - Hegseth

U.S. Secretary of Defense Pete Hegseth holds a briefing on the Iran war, amid a ceasefire between the U.S. and Iran, at the Pentagon in Washington, D.C., U.S., April 24, 2026. REUTERS/Kevin Lamarque
Hegseth turut berkata jumlah kapal yang dipaksa menukar laluan bagi mematuhi sekatan ke atas perairan dan pelabuhan Republik Islam Iran kini meningkat kepada 34, sambil menjelaskan yang kapal bukan milik Iran masih dibenarkan dan terus belayar. - Foto REUTERS/Kevin Lamarque

WASHINGTON: Sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap pelabuhan Iran akan diperkukuh dengan ketibaan sebuah lagi kapal pengangkut pesawat dalam beberapa hari akan datang, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Setiausaha Perang Pete Hegseth pada Jumaat.

“Amerika Syarikat melaksanakan sekatan ketat yang semakin kuat setiap hari, dari Teluk Oman hingga ke lautan terbuka. Tentera Laut kami melaksanakan sekatan ini tanpa ragu atau permohonan maaf,” kata Hegseth dalam satu taklimat media. “Bukan sahaja sekatan ini semakin diperluas, malah sebuah lagi kapal pengangkut pesawat akan menyertainya dalam masa beberapa hari.”

Beliau turut berkata jumlah kapal yang dipaksa menukar laluan bagi mematuhi sekatan ke atas perairan dan pelabuhan Republik Islam Iran kini meningkat kepada 34, sambil menjelaskan yang kapal bukan milik Iran masih dibenarkan dan terus belayar.

Minggu lepas, Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Dan Caine berkata Tentera Laut AS memberi tumpuan kepada pelaksanaan sekatan di sepanjang pesisir pantai dan pelabuhan Iran dan bukannya menyekat Selat Hormuz. Tindakan itu merangkumi perairan wilayah Iran serta perairan antarabangsa di kawasan tanggungjawab lain.

Pada 13 April, Tentera Laut AS memulakan sekatan ke atas semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran di kedua-dua sisi Selat Hormuz, yang merangkumi kira-kira 20 peratus bekalan minyak, produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) dunia.

Washington menegaskan yang kapal bukan milik Iran masih bebas melalui Selat Hormuz selagi tidak membayar tol kepada Tehran. Pihak berkuasa Iran tidak mengumumkan pelaksanaan tol itu, namun pernah membincangkan cadangan berkenaan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video