PIDATO Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) merupakan sebuah program berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berperanan sebagai platform global dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, ilmu dan budaya.
Sebagai satu-satunya pertandingan pidato bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, PABM menghimpunkan peserta dari seluruh dunia untuk menampilkan keupayaan berpidato secara intelektual dan berwibawa, di samping menyokong agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan institusi dan pelajar antarabangsa.
Sebagai seorang juri asing yang telah diberi penghormatan untuk terlibat dalam peringkat akhir pertandingan ini sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 2017, 2023 dan sekali lagi pada tahun ini, saya telah memperoleh perspektif yang sangat bermakna terhadap perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Saya juga merupakan satu-satunya juri bukan warga Malaysia dalam pertandingan akhir tersebut.
Dalam proses penjurian, empat kriteria utama diberikan penekanan, iaitu isi yang merangkumi idea dan mesej pidato, bahasa yang melibatkan aspek sebutan, intonasi, kekuatan dan kawalan suara, gaya penyampaian, serta etika peserta di atas pentas.
Selain itu, interaksi bersama audiens, hubungan mata (eye contact), serta keupayaan peserta membina ritma dan keserasian dengan khalayak turut menjadi aspek penting dalam penilaian.
Sesebuah pidato tidak seharusnya bersifat satu hala atau sekadar monolog, sebaliknya ia perlu hidup melalui hubungan dua hala dengan audiens.
Dari sudut pandang saya sebagai pemerhati luar, tahap keseluruhan peserta amat mengagumkan.
Penguasaan bahasa Melayu mereka adalah fasih dan yakin, manakala kandungan pidato memperlihatkan tahap pemikiran yang mendalam serta keupayaan analitikal yang tinggi.
Namun begitu, saya merasakan terdapat satu keterbatasan pada aspek pemilihan tema, apabila kebanyakan pidato cenderung berfokus kepada kecerdasan buatan (AI) dan bahasa.
Walaupun topik tersebut relevan dan bersifat semasa, sebahagian besar penyampaian kelihatan terlalu akademik dan kaku, seolah-olah sebuah pembentangan ilmiah, bukannya pidato yang bersifat komunikatif dan menyentuh emosi.
Unsur pengalaman peribadi dan elemen kemanusiaan agak kurang diketengahkan, menyebabkan sesetengah penyampaian terasa sedikit kering.
Pada pandangan saya, pidato yang berkesan bukan hanya dibina atas hujah yang kukuh dan struktur idea yang tersusun.
Hubungan mata, nada suara, ekspresi wajah dan gerak tubuh perlu bergerak seiring sebagai satu kesatuan yang harmoni.
Namun yang lebih penting, keikhlasan adalah elemen utama.
Peserta yang benar-benar mencintai Malaysia dan menggunakan bahasa Melayu sebagai wadah untuk menzahirkan rasa cinta tersebut lebih berupaya menyampaikan emosi yang tulus kepada audiens dan para juri.
Kejujuran hati inilah yang akhirnya memberi kesan paling mendalam. Pidato yang paling diingati bukan semestinya yang paling sempurna dari segi teknikal, tetapi yang membawa rasa dan makna yang sebenar.
Saya juga merasakan bahawa sekiranya peserta dari pelbagai negara turut menyelitkan pengalaman mereka tentang budaya Malaysia serta episod-episod bermakna yang pernah mereka alami, ia akan meningkatkan lagi tahap keakraban dan keterhubungan emosi dengan audiens antarabangsa.
Lebih jauh lagi, PABM tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pertandingan di peringkat nasional atau sekadar acara dalaman Malaysia.
Ia perlu terus diperkukuh sebagai platform antarabangsa yang berwibawa dalam mempamerkan keupayaan penutur bukan natif bahasa Melayu di seluruh dunia.
Dengan cara ini, pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan, tetapi juga menjadi sumber inspirasi kepada komuniti global yang mempelajari bahasa Melayu.
Melalui pendedahan kepada peserta antarabangsa yang fasih berbahasa Melayu, minat dan kecintaan terhadap bahasa ini dalam kalangan pelajar serta pengkaji seluruh dunia dapat diperkukuh.
Pada masa yang sama, ia juga berperanan sebagai wahana penting untuk memperkenalkan kekayaan budaya, keindahan bahasa, dan warisan intelektual Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Kesimpulannya, pertandingan seperti PABM bukan sekadar platform penilaian pidato. Ia merupakan ruang penting yang memperlihatkan kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, diplomasi dan penghubung kemanusiaan, yang mampu menyatukan masyarakat rentas budaya melalui nilai dan ekspresi bersama.
*Kang Myoung Sook merupakan pensyarah di Fakulti Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.