KUALA LUMPUR: Kejadian lubang benam di Jalan Wangsa Delima 4, Wangsa Maju dekat sini dipercayai berpunca daripada kerja penyelenggaraan utiliti dan bukan disebabkan mendapan tanah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata siasatan lanjut masih dijalankan, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan kawasan terlibat ditutup sementara selama dua minggu untuk kerja-kerja pembaikan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tembok sump atau struktur takungan air dalam sistem saliran utama berdiameter 1.5 meter di kawasan itu, yang dipercayai telah pecah.
“Kita dapati tembok sump tersebut pecah dan kita tidak jumpa dekat mana tembok itu jatuh. Bersebelahan kawasan itu juga terdapat utiliti dan mungkin ada kerja utiliti menggunakan kaedah HDD (horizontal directional drilling) yang dilakukan di bawah tanah tanpa dapat dilihat di permukaan.
“Ada kemungkinan kerja itu terkena pada tembok berkenaan, menyebabkan ia pecah dan air longkang terus mengalir ke tanah sehingga menyebabkan lubang benam,” katanya pada sidang media di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.
Fadlun berkata kawasan yang ditutup ketika ini, melibatkan anggaran keluasan empat meter panjang, empat meter lebar dan empat meter dalam.
Sementara itu, beliau berkata satu lagi lubang kecil turut dikesan berhampiran sebuah bank di kawasan pejalan kaki di Jalan Tun Perak, semalam.
“Kejadian itu hanya melibatkan lubang cetek kira-kira sedalam satu kaki dan bukan disebabkan isu utiliti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerja-kerja pemetaan utiliti di kawasan Jalan Masjid India kini hampir 90 peratus siap, membabitkan laluan sepanjang 32 kilometer.
Beliau berkata kerja pembaikan laluan pejalan kaki di kawasan itu dijangka bermula Oktober ini, dan DBKL akan memasang settlement marker di beberapa lokasi tertentu, bagi memantau sebarang pergerakan tanah secara masa nyata.
“Sekiranya berlaku pergerakan tanah, kita akan dapat bacaan secara masa nyata supaya tindakan segera boleh diambil di kawasan Masjid India bermula dari Semua House hingga ke Masjid India,” katanya.
Mengenai jumlah penanda yang akan dipasang, Fadlun berkata DBKL masih menunggu laporan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), selain teknologi sama turut akan digunakan di 1,120 kawasan cerun di ibu negara bagi memantau sebarang pergerakan tanah.
-- BERNAMA