BRUSSELS: Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin bersetuju mengenakan sekatan baharu terhadap pendatang haram Israel ekoran keganasan terhadap rakyat Palestin, selepas kebuntuan selama beberapa bulan, menurut seorang diplomat kanan EU, lapor Xinhua.
Ketua Dasar Luar EU Kaja Kallas menerusi platform media sosial X berkata para menteri luar negara anggota EU meluluskan langkah itu.
Keputusan itu dibuat ketika keganasan pendatang haram dan peluasan penempatan haram semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki Israel.
“Sudah tiba masanya kita beralih daripada kebuntuan kepada pelaksanaan,” kata Kallas.
EU masih belum menerbitkan butiran individu dan entiti yang akan disasarkan dalam sekatan baharu itu.
Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot menerusi platform X berkata EU mengenakan sekatan terhadap pertubuhan utama Israel dan pemimpin mereka kerana menyokong “penjajahan ekstremis dan ganas di Tebing Barat.”
Beliau berkata tindakan “serius dan tidak boleh diterima” itu mesti dihentikan segera.
Bagaimanapun, diplomat EU gagal mencapai persetujuan mengenai langkah lanjut, termasuk larangan terhadap produk dari penempatan haram Israel di Tebing Barat atau penggantungan perjanjian perdagangan utama dengan Israel.
Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 5,900 rakyat Palestin hilang tempat tinggal sejak 2023 akibat keganasan pendatang haram, termasuk kira-kira 2,000 orang pada tahun ini sahaja.
-- BERNAMA-XINHUA