Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Memugar jiwa bangsa: Integriti sebagai akar peradaban Malaysia

Datuk Sri Noridah Abdul Rahim_Astro AWANI
Noridah berkata sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam CPI menjelang 2033 tidak akan tercapai secara mampan sekiranya transformasi nilai gagal dilaksanakan di peringkat akar umbi. - Foto IIM

DALAM wacana pembangunan negara, integriti sering diangkat sebagai slogan besar dalam pelan strategik, manifesto pentadbiran dan kempen kesedaran awam.

Namun hakikat yang perlu diakui secara jujur ialah Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan dasar, pelan tindakan atau institusi untuk memperkukuh integriti.

Yang semakin membimbangkan ialah apabila nilai itu sendiri kelihatan semakin terhakis.

Inilah paradoks yang sedang kita hadapi. Kita memiliki pelbagai mekanisme tadbir urus, tetapi masih bergelut dengan krisis kepercayaan.

Kita memperkenalkan pelbagai slogan antirasuah, namun masyarakat masih mempersoalkan ketelusan dan amanah dalam kehidupan seharian.

Persoalannya bukan lagi tentang kekurangan inisiatif, sebaliknya tentang kehilangan roh dan jiwa dalam pelaksanaannya.

Integriti tidak boleh disempitkan sekadar pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), audit tahunan atau pematuhan birokrasi.

Integriti ialah nilai dalaman yang membentuk watak seseorang manusia.

Ia adalah amanah moral yang menentukan bagaimana seseorang membuat keputusan ketika tiada siapa yang memerhati.

Tanpa penghayatan nilai, segala sistem yang dibina akhirnya hanya menjadi struktur kosong tanpa makna.


Di Mana Kita? Analisis Kelompangan

Realitinya, negara masih berdepan tiga kelompangan besar dalam usaha pembudayaan integriti.

Pertama, pendekatan kita terlalu bertumpu kepada aspek punitif berbanding pembentukan watak dan pencegahan organik.

Tindakan penguatkuasaan dan hukuman memang penting, namun ia tidak memadai untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar berintegriti.

Sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 tidak akan tercapai secara mampan sekiranya transformasi nilai gagal dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Kedua, kita terlalu memberi perhatian kepada tadbir urus korporat dan institusi sehingga terlupa bahawa integriti sebenarnya bermula dalam ruang paling asas - di rumah, di meja makan keluarga dan di bilik darjah sekolah.

Negara boleh memiliki sistem pentadbiran yang canggih, tetapi jika generasi muda membesar tanpa didikan amanah, jujur dan rasa malu terhadap salah laku, maka sistem itu akhirnya akan runtuh dari dalam.

Ketiga, kita sedang berdepan “kekosongan budaya”. Integriti gagal diangkat sebagai identiti nasional.

Akibatnya, nilai tersebut sering dilihat sebagai beban pentadbiran dan bukannya maruah bangsa.

Lebih membimbangkan, masyarakat mula menormalisasikan pelbagai salah laku kecil sehingga ia dianggap kebiasaan yang tidak lagi memerlukan teguran.


Cabaran Yang Semakin Getir

Fenomena “survival palsu” misalnya semakin membarah dalam kehidupan masyarakat.

Memotong barisan, memalsukan tuntutan perjalanan, memberi “duit kopi” untuk mengelakkan saman atau menggunakan kabel demi kepentingan peribadi sering dianggap jalan mudah untuk meneruskan kehidupan.

Sedangkan hakikatnya, setiap kompromi kecil terhadap integriti sedang menghakis asas keadilan sosial negara secara perlahan-lahan.

Dalam era digital pula, budaya mengejar tontonan, pengaruh dan populariti di media sosial turut menyumbang kepada kemerosotan integriti moral masyarakat.

Kebenaran sering dikorbankan demi kandungan tular dan perhatian algoritma.

Kita menjadi lebih takut kehilangan pengikut berbanding kehilangan prinsip.

Buli siber, fitnah digital dan penyebaran maklumat palsu adalah manifestasi jelas kepada krisis integriti era moden.

Lebih berbahaya ialah apabila masyarakat mula mengamalkan sikap “tak apa”.

Ketidakjujuran kecil dianggap remeh selagi tidak menjejaskan kepentingan sendiri.

Sikap membiarkan salah laku tanpa teguran inilah yang akhirnya memberi ruang kepada penyelewengan lebih besar untuk berkembang.


Nilai kita, masa depan kita: Integriti dalam kerangka adab dan peradaban

Justeru, pendekatan terhadap integriti tidak boleh lagi bersifat ad hoc atau terpisah-pisah.

Integriti perlu dilihat dalam kerangka lebih besar sebagai asas pembinaan adab dan peradaban bangsa.

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai agama dan ketimuran, integriti bukan sekadar kod etika profesional, tetapi manifestasi amanah dan tanggungjawab moral kepada Tuhan.

Konsep Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghofur yang sering menjadi cita-cita pembangunan negara menuntut pembinaan masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut material, tetapi juga luhur dari segi adab dan nilai.

Tanpa tunjang moral yang kukuh, kemajuan ekonomi dan teknologi akhirnya hanya akan melahirkan sebuah peradaban rapuh yang menunggu masa untuk runtuh akibat kerakusan, ketidakjujuran dan kehilangan nilai kemanusiaan.

Sebab itu, pemugaran integriti tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata.

Ia mesti menjadi gerakan nasional yang melibatkan seluruh rakyat.

Integriti perlu menjadi “nilai kita” - bukan slogan institusi, tetapi budaya hidup harian masyarakat Malaysia.

Dalam konteks ini, pengalaman Jepun sering dijadikan contoh yang wajar direnungi.

Dunia bukan sekadar menghormati kemajuan teknologi dan ekonominya, tetapi mengagumi disiplin, rasa malu, tanggungjawab sosial dan integriti rakyatnya yang menjadi asas kepada kekuatan negara tersebut.

Nilai itu tidak dibina melalui hukuman semata-mata, tetapi melalui budaya dan pendidikan yang berakar sejak kecil.


Anjakan paradigma: Integriti sebagai aset strategik negara

Malaysia juga memerlukan anjakan paradigma yang melihat integriti sebagai aset strategik negara.

Pertama, integriti menentukan daya tarikan pelaburan asing.

Pelabur global tidak hanya menilai potensi ekonomi sesebuah negara, tetapi turut mengambil kira kestabilan tadbir urus dan tahap ketelusan institusi.

Negara yang gagal mengawal rasuah akan kehilangan keyakinan pelabur dan berdepan penghijrahan bakat terbaik ke luar negara.

Kedua, integriti berkait langsung dengan produktiviti nasional.

Ketirisan dan salah guna kuasa menyebabkan sumber negara gagal dimanfaatkan secara optimum.

Setiap ringgit yang hilang akibat penyelewengan sebenarnya merampas peluang pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Ketiga, integriti ialah asas kepada kepercayaan awam.

Modal sosial terbesar sesebuah kerajaan ialah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan institusi negara.

Tanpa kepercayaan, segala dasar yang baik sekalipun akan dipandang sinis dan dipersoalkan.


Rukun Negara: Kompas moral yang perlu hidup dalam hati

Dalam usaha melakukan anjakan nasional ini, Rukun Negara perlu dihidupkan semula sebagai kompas moral bangsa.

Lima prinsip tersebut tidak boleh terus menjadi teks hafalan dalam perhimpunan sekolah atau majlis rasmi kerajaan semata-mata.

Ia mesti diterjemahkan dalam tindakan dan budaya masyarakat.

Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan misalnya menanam kesedaran bahawa setiap tindakan manusia terikat dengan nilai amanah dan pertanggungjawaban moral.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula menuntut rakyat mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang memastikan tiada ruang untuk amalan “double standard”, manakala Kesopanan dan Kesusilaan membentuk masyarakat yang menghormati nilai etika dan kemanusiaan.

Pembudayaan integriti juga menuntut sinergi merentas sektor secara menyeluruh. Sektor awam dan politik mesti menjadi teladan melalui ketelusan dan akauntabiliti.

Sektor swasta pula perlu melihat Environmental, Social and Governance (ESG) bukan sekadar laporan tahunan, tetapi etika perniagaan yang sebenar.

Institusi agama dan masyarakat sivil harus menggerakkan naratif moral yang dekat dengan jiwa rakyat, manakala institusi pendidikan perlu melahirkan generasi yang memiliki keberanian moral untuk mempertahankan kebenaran.


Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Paling penting, keluarga mesti kembali menjadi benteng pertama pembentukan karakter bangsa.

Peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebungnya” bukan sekadar ungkapan tradisional, tetapi prinsip pembangunan insan yang sangat relevan pada hari ini.

Pelbagai kajian psikologi moral antarabangsa menunjukkan bahawa nilai amanah, jujur dan tanggungjawab yang diterapkan sejak usia awal memberi kesan besar terhadap pembentukan keperibadian seseorang apabila dewasa.

Dalam hubungan ini, usaha Institut Integriti Malaysia (IIM) membangunkan Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) merupakan langkah strategik yang amat signifikan.

Modul tersebut bertujuan memupuk kefahaman dan kesedaran tentang integriti dalam kalangan kanak-kanak seawal usia tiga atau empat tahun melalui pembentukan karakter positif dan amalan nilai murni dalam kehidupan harian.


Kesimpulan

Akhirnya, perjuangan memugar integriti bukanlah usaha jangka pendek yang boleh diselesaikan melalui pekeliling atau slogan semata-mata.

Ia menuntut keberanian moral seluruh masyarakat untuk berkata “tidak” kepada sekecil-kecil bentuk penyelewengan walaupun ketika ia memberi keuntungan kepada diri sendiri.

Integriti bukan tentang apa yang kita lakukan ketika dilihat orang, tetapi siapa diri kita ketika tiada sesiapa memerhati.

Jika Malaysia benar-benar mahu muncul sebagai negara maju yang dihormati dunia, pembangunan material sahaja tidak memadai.

Negara ini mesti dibina di atas asas maruah, amanah dan harga diri.

Hanya dengan itu, kita mampu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah Malaysia yang bukan sahaja makmur ekonominya, tetapi juga luhur jiwanya.
 


*Datuk Seri Noridah Abdul Rahim merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video