SANDAKAN: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah bagi memperkasa agenda pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT) berurusan dengan pelanggan di negeri berkenaan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata beberapa majlis daerah sudah memulakan perkhidmatan penyampaian kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta hal itu perlu diperluaskan ke seluruh Sabah.
“Berdasarkan lawatan ke sembilan daerah di Sabah, kebanyakan PBT menggunakan pendigitalan termasuk pembayaran parkir dan aduan, ini sesuatu yang sangat baik selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, kami harap semua PBT dapat melaksanakan perkara sama.
“KPSTI melalui Jabatan Digital akan menyelaras dan kementerian ada menyediakan perkara yang perlu berhubung pendigitalan itu,” katanya selepas majlis angkat sumpah ahli-ahli baharu Majlis Daerah Kinabatangan di sini pada Selasa.
Di samping itu, beliau berkata kerjasama dua kementerian berkenaan turut meliputi perkara berkaitan akses Internet di kawasan luar bandar.
“Perkara ini juga dibincangkan dan membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi perancangan pembinaan menara komunikasi,” katanya.
Sementara itu, Mohd Arifin berkata kerajaan negeri bercadang menyediakan insentif kepada pihak yang mempunyai inisiatif mencantikkan bangunan lama di negeri itu, termasuk mengecat bangunan dan pencahayaan.
-- BERNAMA