KOTA BHARU: Empat suspek kes bunuh seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, yang ditemukan parah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok pada 14 April lalu tiba di kompleks mahkamah di sini pada Rabu untuk pertuduhan.
Dua suspek memakai baju ungu manakala dua lagi berwarna oren tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi untuk proses berkenaan sambil diiringi anggota polis.
Dua individu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan bahan bukti.
Kesemua mereka akan didakwa secara berasingan.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil siasatan terhadap tujuh suspek termasuk pasangan suami isteri mendapati mereka mempunyai sejarah perselisihan faham dengan mangsa.
Terdahulu, Muhammad Zakir Fikry meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian pada jam 12.55 pagi, 15 April selepas mengalami kecederaan parah.
Mangsa sebelum itu ditemukan terbaring di tepi jalan pada jam 7.30 pagi dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian muka dan kepala dengan punca kematian disahkan akibat trauma tumpul.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian