Skip to main content

Malaysia

Kilang proses sisa elektronik diserbu, rampasan bernilai RM350,000

rampasan e-waste -- PDRM
Operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu oleh sepasukan polis IPK Pulau Pinang dan IPD SPT bersama JAS, LHDN serta MBSP hasil maklumat awam dan risikan. - Gambar/ PDRM

BUKIT MERTAJAM: Pelbagai sisa elektronik bernilai RM350,000 yang diproses tanpa kebenaran dirampas dalam serbuan menerusi Ops Hazard di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Asas Jaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata dalam serbuan pada 1.30 tengah hari itu, seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun yang merupakan pekerja di kilang terbabit turut ditahan.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hasil maklumat awam dan risikan.

“Hasil pemeriksaan, kilang itu didapati menjalankan aktiviti pemprosesan barangan kitar semula dan digunakan untuk memproses barangan sisa elektronik tanpa kebenaran sah seperti telefon bimbit, tablet serta papan induk atau motherboard, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Helmi berkata kesemua rampasan terdiri daripada empat beg jumbo berisi campuran sisa elektronik skrap termasuk gegelung kuprum serta sembilan guni mengandungi campuran tablet, telefon bimbit dan papan induk.

Siasatan awal mendapati kilang itu didaftarkan di bawah sebuah syarikat tempatan dan beroperasi sejak awal 2023 dengan kebenaran menjalankan aktiviti jual beli barangan lusuh serta kitar semula.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengurusan sisa elektronik," katanya.

Beliau berkata lelaki warga asing itu disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala semua barangan rampasan diserahkan kepada JAS Pulau Pinang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video