Skip to main content

Malaysia

Kesungguhan YES bangunkan Darul Abrar

41377778873_295x200.jpg
Yayasan Ehsan Seputeh (YES) bersungguh-sungguh mahu  menjadikan pelajar di Akademi Tahfiz Darul Abrar sebagai individu  yang bukan sahaja celik Al-Quran tetapi mampu  bersaing dengan pelajar di sekolah biasa.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Kamal Mohd.  Yusoff berkata, usaha itu dilihat salah satu inisiatif dalam melahirkan generasi  yang seimbang daripada segi akademik dan  kerohanian.

“Sesetengah masyarakat berpendapat sekolah  tahfiz hanya mementingkan ilmu keagamaan dan  menolak tepi ilmu keduniaan tetapi sepatutnya  kedua-dua aspek tersebut mesti diseimbangkan.

“Saya melihat potensi akademi ini dalam  membentuk insan yang cemerlang di dunia dan  akhirat, jadi YES benar-benar serius untuk  membangunkannya,” katanya.

Mustapa berkata demikian ketika melawat akademi tersebut di sini.

Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian  Seputeh, Datuk Mariam Minhat; Ketua Pegawai  Eksekutif YES, Lila Ruzaini Mohd. Hussain dan  Naib Ketua Wanita Bahagian Seputeh,  Norkhaizan Osman.

Akademi Tahfiz Darul Abrar yang sudah dua tahun beroperasi itu terletak di Taman Halimahton, Jalan Klang Lama.

Akademi itu sebelum ini merupakan sebuah surau tinggal sebelum ia dijadikan akademi oleh YES.

Menurut Mustapa Kamal, setakat ini jumlah  pelajar adalah seramai 25 orang berumur antara  tujuh hingga 16 tahun dan dibantu oleh empat  tenaga pengajar.

“Kita berharap usaha YES mendapat sokongan  daripada pelbagai pihak dengan memberi bantuan  dana agar kita dapat memperbesar dan  meningkatkan kemudahan bagi menambah  bilangan pelajar yang ingin mendaftar,” jelasnya.

Walau mengakui mendapat banyak tentangan sebelum ini sebelum lokasi itu dapat dijadikan akademi, Mustafa tetap optimis dalam usahanya selama ini.

Sementara itu, Guru Besar Akademi Tahfiz Al Abrar, Zainal Abidin Mustaffa berkata, penubuhan  akademi tahfiz di tapak surau lama itu dapat mengelak kegiatan tidak sihat yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Surau lama ini telah dijadikan pusat kegiatan berunsur sesat seperti bomoh dan kepercayaan  karut, jadi YES membangunkan tempat ini untuk  tujuan yang lebih berfaedah.

“Pemilihan kawasan ini bagi menjalankan aktiviti  pembelajaran adalah sangat selesa dan  bersesuaian di samping dapat menggalakkan  masyarakat sekitar untuk turut sama melakukan  ibadah memandangkan sebelum ini surau itu tidak  digunakan,” katanya.

YES mendapat sokongan daripada badan lain seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Ia termasuk dalam memberikan khidmat nasihat dari segi teknikal bagi menubuhkan sebuah pusat dialisis.

Jelasnya, YES juga bercadang menubuhkan sebuah pusat sehenti atau institusi bagi anak-anak golongan gelandangan.

YES akan dilancarkan secara rasmi pada malam 14 September depan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Tema Desa Waterpark.

Must Watch Video