BEIJING: Kerajaan China menyuarakan bantahan keras terhadap sekatan terbaharu Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga syarikat berpangkalan di republik itu yang didakwa membantu operasi ketenteraan Tehran, hari ini.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, menyifatkan langkah Washington tersebut sebagai haram, bersifat unilateral dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa atau kebenaran Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Al Jazeera.
“Kami sentiasa menghendaki perusahaan China menjalankan perniagaan mengikut undang-undang dan peraturan, dan kami akan terus mempertahankan hak serta kepentingan sah syarikat-syarikat kami,” kata Guo dalam taklimat media harian, di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan mendesak ketika ini adalah untuk mengelakkan tercetusnya semula peperangan di Asia Barat, bukannya menggunakan konflik berkenaan untuk mengaitkan secara jahat serta memburukkan negara lain.
Sekatan yang diumumkan oleh Jabatan Negara AS pada Jumaat lalu itu menyasarkan tiga syarikat satelit China yang didakwa membekalkan imej bagi membantu serangan Iran terhadap tentera AS di rantau berkenaan.
Langkah itu turut menyasarkan rangkaian pemerolehan senjata Iran, termasuk pembekalan komponen dron Shahed dan peluru berpandu balistik yang didakwa melibatkan entiti di Hong Kong, Belarus dan Dubai.
Bantahan terbaharu itu muncul ketika Presiden AS, Donald Trump, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, di China minggu ini bagi membincangkan pelbagai isu, termasuk konflik di Asia Barat serta hubungan perdagangan dua hala.