Skip to main content

Malaysia

Kemalangan pelajar: Garis panduan pengurusan sekolah selamat ditambah baik - Fadhlina

41766645492_TBFADHLINA.jpg
Fadhlina (foto) berkata usaha itu telah pun digerakkan menerusi Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai wakil pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). -Gambar fail

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menambah baik Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat agar selari dengan cabaran semasa dan kekal relevan dalam melindungi murid serta warga sekolah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata usaha itu telah pun digerakkan menerusi Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang dianggotai wakil pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

“Jawatankuasa ini turut dianggotai pelbagai wakil bukan kerajaan serta komuniti bagi memastikan isu yang terkait dengan keselamatan di sekolah diberi perhatian,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran  MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) 2026 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Pada 12 April lepas, seorang pelajar tingkatan satu maut dirempuh sebuah kereta di hadapan surau perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas di Kota Bharu Kelantan. 

Di Johor pula, seorang pelajar perempuan tahun dua maut akibat dilanggar van di hadapan pagar utama Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat pada 5 Mei lepas. 

Sementara itu, dalam sidang media Fadhlina berkata KPM juga telah mengarahkan semua pengetua dan pentadbir sekolah supaya mengambil langkah keselamatan secara tegas dan konsisten setiap hari.

“Tiada kompromi dalam isu melibatkan keselamatan pelajar dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat.

“Pelaksanaan program dan inisiatif keselamatan hari ini merupakan sebahagian daripada tindakan susulan hasil perbincangan jawatankuasa khas berkenaan yang meneliti secara menyeluruh isu keselamatan murid,” katanya.

Fadhlina berkata kerajaan merangka program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) bagi memastikan pelajar yang ke sekolah menggunakan motosikal memiliki lesen yang sah. 

Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan 60,000 pelajar memperoleh manfaat daripada program khas MyB2S 2026, membabitkan peruntukan kira-kira RM18.5 juta. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video